*CHUA Soi Lek (dua dari kiri), Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong (dua dari kanan) mencangkul tanah sempena Majlis Pecah Tanah bangunan MCA di Kepong, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Februari, 2013: Ekonomi negara akan tergugat dan merudum sekiranya pakatan pembangkang terutamanya Pas memerintah negara selepas pilihan raya umum akan datang.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, ini kerana kepimpinan Pas jarang menyentuh soal kemajuan dan pembangunan ekonomi, sebaliknya sering memperjuangkan isu keagamaan.
"Jika DAP menang semua kerusi mereka masih tidak boleh mentadbir negara kerana parti itu memerlukan sokongan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Pas pula mendominasi kerusi di Semenanjung Malaysia dan akan berkuasa memerintah negara sekiranya pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum nanti.
"Bursa Malaysia juga akan jatuh 500 mata sekiranya Pas memerintah negara pada minggu pertama," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Tengah Hari Sempena Ulang Tahun Ke-64 MCA Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Terdahulu, Soi Lek hadir merasmikan Majlis Pecah Tanah bangunan MCA Kepong di Batu 6, Jinjang Utara.
Katanya, kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia juga terjejas sekiranya Pas memperjuangkan hudud, sedangkan Malaysia memerlukan FDI untuk merancakkan ekonomi.
dan ini jelas terbukti sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan.
"Sejak Najib mentadbir negara, FDI negara pada 2009 berada pada RM5 bilion dan meningkat enam kali ganda kepada RM30 bilion pada 2011," katanya.
Jelas Soi Lek, suka atau tidak masyarakat perlu menerima kenyataan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun dan memerlukan kadar pertumbuhan ekonomi tahunan yang konsisten. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment