My Add

Monday 4 February 2013

Generasi muda digalak ceburi bidang akuakultur

KOTA BHARU, ISNIN, 04 Februari, 2013: Generasi muda digalak menceburi bidang akuakultur yang mempunyai potensi besar dalam meningkatkan hasil perikanan di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata terdapat 28 kawasan membabitkan lebih 20,000 hektar tanah di seluruh negara yang sesuai untuk dimajukan dengan projek akuakultur.

"Kami sedang melaksanakan beberapa program bagi mendedahkan generasi muda kepada bidang akuakultur termasuk memahami teknologi untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan memberi nilai tambah supaya produk boleh dieksport," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Perikanan Kelantan di sini, hari ini.

Ahamad Sabki berkata, setakat ini, 80 peratus pengeluaran ikan negara disumbangkan perikanan tangkapan marin manakala bakinya dihasilkan melalui akuakultur.

"Ramai pelabur asing mahu datang melabur dalam industri akuakultur di negara ini. Oleh itu, kita kena menyediakan tenaga kerja mahir untuk industri ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memupuk minat terhadap industri perikanan dalam kalangan pelajar sekolah supaya mereka mempunyai matlamat yang jelas untuk menceburi bidang itu pada masa depan.

Mengenai bekalan ikan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, Ahamad Sabki berkata, ia sentiasa mencukupi walaupun musim tengkujuh belum berakhir. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment