My Add

Saturday 23 February 2013

Geng Anuar akhirnya tumpas
  
 *MOHD. Nor Rasid (kanan) bersama pegawainya memeriksa
kerangka dan motosikal yang ditemui menerusi 'Operasi Jejak
 Anuar' di IPD Kota Tinggi, Johor, kelmarin.

O
leh Farik Salleh

KOTA TINGGI 22 Feb. - Polis menumpaskan 'Geng Anuar' yang aktif mencuri motosikal bagi mendapatkan alat ganti untuk dijual kepada pelajar setelah memberkas lima remaja termasuk tiga masih bersekolah di gugusan Felda Waha, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 malam di pusat beli-belah Today Mall, Ulu Tiram pada 15 Februari lalu, polis berjaya menahan lima suspek berusia 17 hingga 18 tahun.

Beliau berkata, tiga daripada mereka merupakan pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun, manakala dua lagi ialah pekerja kilang dan pekerja sebuah bengkel di Felda tersebut.

"Dalang kumpulan tersebut merupakan seorang pekerja bengkel dikenali sebagai Anuar yang berusia 18 tahun.

"Tangkapan tersebut membawa kepada penemuan tujuh rangka motosikal dan empat motosikal iaitu dua jenis Honda EX 5 dan masing-masing sebuah Honda Wave dan Yamaha RXZ," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mohd. Nor berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tujuh lagi suspek berusia 15 hingga 19 tahun dipercayai bersubahat dengan kumpulan itu yang masih bebas.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan penjenayah ialah meleraikan komponen motosikal curi dan dijual kepada rakan-rakan sekolah, manakala rangkanya akan dicampak ke dalam sungai di sekitar gugusan Felda tersebut.

Katanya, kesemua suspek masih direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dan denda jika sabit kesalahan.

"Saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam kegiatan negatif dan jenayah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment