My Add

Wednesday 6 February 2013

Guan Eng mahu pujian, kelirukan rakyat

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Februari, 2013: Lim Guan Eng tidak wajar mendabik dada dan mendakwa berjaya melaksanakan usaha membasmi kemiskinan yang selama ini diterajui kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu hanya tahu menerima pujian di atas segala usaha keras pihak lain yang benar-benar mengambil berat mengenai masalah kemiskinan.

"Saya menyeru Guan Eng untuk berhenti mengelirukan masyarakat, hakikat sebenarnya, BN yang selama ini menggerakkan pelbagai polisi dan program untuk menyelesaikan masalah kemiskinan.

"Saya juga fikir Guan Eng telah menjadi lebih keliru apabila tinggal di Pulau Pinang kerana menganggap negeri itu hanya untuk orang kaya, mungkin itu sebabnya rumah yang dikatakan mampu milik di negeri itu adalah RM400,000 seunit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Tee Yong, kenyataan Guan Eng adalah amat tidak bertanggungjawab apabila mengumumkan masalah kemiskinan negara akan berjaya diselesaikan dalam tempoh lima tahun selepas pakatan pembangkang mengambil alih Putrajaya.

"Berdasarkan fakta, kadar kemiskinan negara telah menurun dari 49 peratus pada 1970 kepada 3.8 peratus pada 2009. Malah, kerajaan BN juga menyasarkan kadar itu dapat diturunkan kepada dua peratus menjelang 2015.

"Selain itu, pelbagai langkah telah diambil oleh Kerajaan BN untuk mengurangkan beban rakyat termasuk menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta Bantuan Khas Awal Persekolahan," katanya.

Jelas beliau, menerusi Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan 111 program dan rancangan untuk membantu golongan miskin dan menaik taraf kehidupan masyarakat.

Dalam pada itu, Tee Yong turut mempersoalkan pengurusan Guan Eng di Pulau Pinang kerana keluaran dalam negeri kasar (KDNK) di negeri itu telah menyusut daripada 5.7 peratus pada 2008 kepada 1.8 peratus pada September 2012.

Katanya, kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri yang paling banyak menarik pelaburan asing (FDI) juga telah jatuh kepada tangga ketujuh pada 2012 dan keadaan tersebut merupakan kemerosotan ketara bagi negeri itu.

"Saya amat hairan mengapa Guan Eng dan pakatan pembangkang hanya membisu mengenai kemelut ekonomi di Pulau Pinang tetapi beria-ia mahu menerima pujian di atas kerja keras BN mengurangkan kadar kemiskinan," katanya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment