My Add

Wednesday 6 February 2013

Pindah banduan dengan Thailand selepas Mac

*HISHAMUDDIN Tun Hussein menerima bantuan kewangan untuk penghuni penjara daripada Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Arfan Sulaiman (kiri) sambil diperhatikan isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar (kanan) pada majlis Perjumpaan 1Malaysia penghuni penjara dan keluarga sempena Tahun Baharu Cina di Penjara Kajang, semalam.

KAJANG, SELASA, 05 Februari, 2013:Malaysia akan melaksanakan Program Pemindahan Antarabangsa Banduan dengan Thailand selepas Mac ini, iaitu pertukaran banduan negara asal di antara dua negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, program itu bertujuan menempatkan banduan negara ini dan banduan asing di penjara di tanah air masing-masing bagi membolehkan mereka berada dekat dengan keluarga.

"Kita akan meterai satu perjanjian dengan Thailand dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perjumpaan 1Malaysia penghuni penjara dan keluarga mereka sempena Tahun Baharu Cina di Penjara Kajang di sini hari ini.

Beliau berkata, program itu membolehkan banduan warga Malaysia menjalani hukuman penjara di negara ini manakala banduan warga asing menjalani hukuman di negara mereka.

Katanya, program itu diluluskan Parlimen pada November 2012 dan akan diwartakan pada Mac ini.

"Rombongan pegawai dari Malaysia telah mengadakan lawatan ke Thailand untuk melihat mekanisme pelaksanaan pemindahan serta mengadakan perbincangan lanjut bagi merealisasikan pelaksanaan pemindahan dengan negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata, seramai 2,622 banduan warga Malaysia sedang menjalani hukuman penjara di negara luar iaitu 1,218 orang di Singapura, Thailand (404 orang), China (231 orang), Taiwan (137 orang), Indonesia (146 orang) dan 486 orang di 54 negara lain.

Sementara warga asing yang berada di penjara negara ini ialah 1,758 orang iaitu warganegara Indonesia (930 orang), Filipina (403 orang), Myanmar (111 orang), Thailand (82 orang), Vietnam (56 orang) dan 176 banduan asing dari 26 negara lain.

Beliau berkata, antara syarat pemindahan banduan ialah hukuman pemenjaraan adalah muktamad (telah selesai semua rayuan), kesalahan yang disabitkan adalah merupakan kesalahan bagi kedua-dua negara, mempunyai baki hukuman melebihi enam bulan dan pemindahan dibuat ke negara yang mempunyai perjanjian dengan Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia juga berhasrat memperluaskan program itu dengan negara lain seperti Korea Selatan, India, Arab Saudi, Turki, Filipina, Iran dan Venezuela. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment