My Add

Monday 4 February 2013

Hadi enggan ulas mengenai pemecatan Nasharudin

SHAH ALAM, ISNIN, 04 Februari, 2013: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan mengulas mengenai desakan pelbagai pihak yang mahu parti itu meneliti semula pemecatan Nasharudin Mat Isa sebagai ahli Majlis Syura Ulama Pas.

Beliau berkata, perkara itu sepatutnya dirujuk kepada Majlis Syura Ulama parti itu memandangkan keputusan tersebut dibuat oleh majlis berkenaan.

“Saya tidak perlu (di)tanya (mengenai pemecatan Nasharudin), orang perlu tanya Majlis Syura Ulama Pas. Itu hal (urusan) majlis tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Antarabangsa Pendidikan anjuran Universiti Selangor (Unisel) di sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk tokoh Pas mahu parti itu mengkaji semula keputusan memecat Nasharudin yang merupakan bekas Timbalan Presiden Pas sebagai anggota Majlis Syura Ulama.

Selain kajian semula keputusan pemecatan itu, mereka turut mahu Pas memberi peluang membela diri terhadap setiap tuduhan yang dibuat.

Nasharudin yang sentiasa konsisten dalam mempertahankan isu hudud, penubuhan negara Islam, kalimah Allah dan sering kali mengkritik hubungan antara parti itu dengan DAP dipecat daripada Majlis Syura Ulama berkuat kuasa 13 Januari lalu.

Pemecatan Nasharudin dibuat atas alasan kerana kerap tidak hadir mesyuarat serta sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian dan ketetapan majlis berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment