My Add

Monday 4 February 2013

188,058 layak terima BR1M 2.0 di Melaka

MELAKA, ISNIN, 04 Februari, 2013: Seramai 188,058 rakyat di Melaka layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 melibatkan peruntukan lebih RM78 juta.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, daripada jumlah itu seramai 123,965 orang menerima RM500 sementara 64,093 orang merupakan golongan belia yang layak mendapat RM250.

Beliau berkata, semua bayaran akan dibuat di pejabat Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan (JAPERUN) masing-masing secara berperingkat melibatkan tiga fasa bermula hari ini hingga menjelang sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.

"Inisiatif ini membuktikan satu lagi janji ditepati kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membela nasib rakyat di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan BR1M 2.0 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru melibatkan 4,642 penerima di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Bukit Katil Datuk Md Sirat Abu.

Seorang penerima, Loo Sui Tsi, 65, berkata, bantuan itu merupakan satu bonus kerajaan kepada rakyat dalam meringankan beban kos sara hidup.

"Bantuan ini amat dinantikan terutama membantu persiapan sambutan Tahun Baharu Cina dalam keadaan saya yang sakit akibat serangan angin ahmar," kata pesara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment