My Add

Sunday 3 February 2013

Halang projek rumah kos rendah Pusat

Oleh ZABRY MOHAMAD

TASEK GELUGOR, SABTU, 02 Februari, 2013: Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa cuba menggagalkan projek pembinaan rumah kos rendah yang dibina oleh agensi Kerajaan Persekutuan apabila mengenakan pelbagai syarat ketat berbanding pemaju swasta yang tidak berdepan dengan masalah birokrasi.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Azhar Ibrahim berkata, bagi pemaju swasta, setiap pelan perancangan hanya disemak dan diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun jelasnya, bagi agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti Perda, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan JKP Sdn. Bhd. (JKP), bukan sahaja PBT malah pelan tersebut perlu mendapat kelulusan jawatankuasa perancangan kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

"Terdapat kes projek Perda yang turut merangkumi pembinaan rumah kos rendah yang telah siap tiga tahun lalu sehingga kini belum memperoleh sijil kelayakan menduduki bangunan (OC)," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 peringkat negeri di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Selasa lalu, Guan Eng menetapkan harga siling RM400,000 bagi sebuah rumah mampu milik yang dirancang di Jalan SP Chelliah di sini.

Bagi rumah mampu milik di Bandar Cassia, Seberang Perai, kerajaan negeri memutuskan harga siling RM250,000 seunit.

Azhar yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang memberitahu, sebagai contoh, projek pembinaan 300 buah rumah kos rendah di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau yang siap setahun lalu sehingga hari ini masih tidak diberikan OC oleh kerajaan negeri.

Menurut beliau, apabila ditanya mengenainya, pelbagai alasan diberikan walhal semasa pelan perancangan dihantar untuk kelulusan tiada masalah timbul.

"Inilah sikap Ketua Menteri sekarang. Dia takut apabila mendapat OC, Perda akan mendapat nama kerana membina rumah kos rendah sedangkan kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa.

"Dalam kepala dia ingat politik sahaja, bukan nak fikir tentang masalah rakyat," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment