My Add

Wednesday 20 February 2013

Heret penceroboh ke pengadilan

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
 KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Februari, 2013: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera menjalankan siasatan berhubung pencerobohan laman web milik Jabatan Penerangan agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, kejadian tersebut jelas membimbangkan malah memperlihatkan betapa mudahnya laman web agensi kerajaan dicerobohi pihak luar.

Sehubungan itu, katanya, satu siasatan menyeluruh dan terperinci diharap dapat diambil dengan segera supaya masyarakat sedar tindakan menceroboh laman-laman web milik kerajaan adalah merupakan kesalahan yang serius.

"Pelaku kejadian perlu dihadapkan ke muka pengadilan kerana aktiviti menceroboh laman web kerajaan merupakan kesalahan serius malah tindakan tersebut turut membawa kepada cubaan menceroboh rahsia kerajaan.

"Malah, tindakan pelaku memaparkan kenyataan palsu boleh membawa kepada kekeliruan dan kekalutan kepada masyarakat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian pencerobohan sistem e-Akhbar dan e-Press milik Jabatan Penerangan yang memaparkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Mohamed Maliki berkata, berdasarkan kenyataan palsu dipaparkan tersebut, beliau tidak menolak kaitannya dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang semakin hampir.

"Kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa yang mengarahkan setiap kementerian dan jabatan mempertingkatkan tahap keselamatan laman web rasmi mereka bagi menangkis ancaman penggodam sememangnya langkah tepat dan perlu diberikan perhatian.

"Sekiranya langkah berwaspada tidak diambil dikhuatiri lebih banyak laman web agensi kerajaan yang diceroboh sekali gus membawa kepada suasana yang lebih kalut dan kecoh," katanya.

Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah juga berpendapat kejadian pencerobohan laman web tersebut ada kaitan dengan PRU-13.

"Pelaku tersebut hanya menggodam sistem di laman web milik Jabatan Penerangan yang diakui sebagai lidah rasmi kerajaan tetapi tidak jabatan dan agensi lain.

"Malah, pelaku tersebut juga cuba menjatuhkan imej Perdana Menteri yang kini semakin diterima dan diyakini oleh rakyat sebagai individu yang mampu memimpin negara selepas PRU-13 nanti," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment