My Add

Wednesday 6 February 2013

Iskandar Malaysia sasar pelaburan RM15-RM21 bilion 2013

JOHOR BAHRU, SELASA, 05 Februari, 2013: Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia disasarkan menarik pelaburan dari dalam dan luar negeri sebanyak RM15 bilion hingga RM21 bilion pada tahun ini.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, sasaran pelaburan itu merupakan sebahagian daripada KPI (Indeks Prestasi Utama) IRDA.

"Sasaran KPI kami pada tahun ini adalah pelaburan di antara RM15 bilion hingga RM21 bilion," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena pelancaran Jejak TERAJU Iskandar Malaysia di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa di sini, hari ini.

Semenjak dilancar pada 2006 sehingga 31 Dis 2012, Iskandar Malaysia katanya, telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM106.31 bilion daripada syarikat-syarikat dalam dan luar negeri.

Ismail berkata, yang 63 peratus daripada pelaburan yang diterima oleh Iskandar Malaysia itu adalah daripada syarikat tempatan, manakala 37 peratus pelaburan itu daripada syarikat asing.

Mengenai lawatan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ke Iskandar Malaysia pada 18 Februari ini, beliau berkata, beliau dimaklumkan tentang lawatan itu yang julung-julung kalinya dilakukan oleh pemimpin tertinggi Singapura.

Pengumuman rasmi menurutnya, akan dilakukan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Lee Hsien Loong dijangka berada di Iskandar Malaysia bagi merasmikan projek pembinaan “Wellness Township", salah satu projek ikonik yang diusahakan secara bersama oleh Khazanah Nasional dan Temasek Holdings.

Ismail berkata, lawatan Perdana Menteri Singapura itu merupakan satu petanda jelas tentang potensi besar dan sihat yang dimiliki oleh Iskandar Malaysia.

Akhir-akhir ini, Iskandar Malaysia yang berkeluasan 2,217 km persegi telah menerima peningkatan pelaburan daripada syarikat-syarikat Singapura seperti pembinaan taman industri bernilai RM3 bilion oleh syarikat republik, Ascendas dengan kerjasama tempatan, UEM Land.

Selain itu, bilionair Singapura Peter Lim turut akan melabur RM3 bilion untuk membina “Auto City" di Nusajaya, dengan kemudahan trek lumba Formula Satu juga dengan kerjasama UEM Land.

Pelabur-pelabur Singapura juga terlibat membeli hartanah-hartanah di kawasan Iskandar Malaysia. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment