My Add

Wednesday 6 February 2013

Jangan ragu kualiti air tangki - Syabas

KUALA LUMPUR, 05 Februari, 2013: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) hari ini memberi jaminan air yang disalur kepada pengguna menerusi lori tangki dan tangki statik adalah selamat dan tidak perlu diragui kualitinya.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred berkata, air yang dibekalkan itu mematuhi piawaian parameter kualiti air di bawah Program Jaminan Kualiti (QAP) yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Piawaian tersebut merangkumi parameter-parameter yang berpandukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia seperti kandungan baki klorin bebas, tahap kekeruhan, PH dan warna air terawat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, pengguna tidak perlu ragu-ragu terhadap tahap kebersihan air yang dibekalkan menerusi lori tangki Syabas terutama ketika krisis air.

Priscilla berkata Syabas sentiasa memantau kualiti air dari semasa ke semasa agar tidak berlaku sebarang pelanggaran parameter piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata, air yang telah diisi ke dalam tangki lori akan diuji bagi memastikan tahap kualiti air kekal mematuhi piawaian KKM, dan ujian sama turut dibuat terhadap air yang diisi ke dalam tangki statik.

"Sekiranya hasil ujian tidak menepati piawaian, bekalan air tersebut tidak akan dihantar kepada para pengguna," katanya.

Katanya, pengguna yang mengalami masalah kualiti bekalan air, boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252, atau menerusi mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip PUSPEL aduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222.

Pengguna juga boleh membuat aduan di laman sosial Facebook dan Twitter Syabas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment