My Add

Sunday 3 February 2013

Isu kalimah ALLAH kerja UMNO, kata Hadi

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN


KUALA LUMPUR, AHAD, 03 Februari, 2013: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mendakwa isu kalimah ALLAH yang menjadi pertikaian mutakhir ini adalah mainan politik Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).


"Ini kerja UMNO. Mengaku Islam... bawa isu kalimah ALLAH musim pilihan raya. Nak pancing undi guna kalimah ALLAH," katanya ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Perdana Ummah bersama Pas di sebuah hotel dekat ibu negara, hari ini, lapor Sinar Harian.

Jelas Hadi, keputusan dibuat Majlis Syura Pas berkaitan dengan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam sudah cukup jelas, namun ia dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu termasuk sesetengah media sehingga ia menimbulkan kebimbangan rakyat.

"ALLAH tak boleh diterjemahkan. Dalam masa sama ALLAH digunakan bukan Islam ditempat dia, itu hak kamu. Salah gunakan, itu tak boleh.

"Ia ada beza dan kita kena faham. Majlis Syura Ulama buat keputusan perkataan ALLAH tidak boleh diterjemah. Perkataan ALLAH tak boleh salah guna. Kalau kamu nak (kalimah) ALLAH dalam bangsa kamu, itu hak kamu. Dipotong-potong kenyataan ini dan dilaga-lagakan," tegas beliau.

Cadangan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan sempena sambutan Hari Natal lalu.

Pakatan Rakyat yang berbincang pada 8 Januari memutuskan kalimah ALLAH boleh digunakan oleh bukan Islam asalkan ia tidak disalahgunakan.

Pendirian Hadi yang mewakili Pas dalam mesyuarat itu disambut baik oleh Majlis Pakatan Rakyat.

Namun Majlis Syura Pas yang bermesyuarat pula memutuskan bahawa kalimah ALLAH adalah hak eksklusif untuk orang Islam sahaja dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadi kemudiannya akur dengan pendirian Majlis Syura Pas itu.

Semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata Pas sepatutnya mempertimbangkan keputusan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat mengenai kalimah ALLAH dan bukan oleh Majlis Syura Ulamanya.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, PR sudah bersetuju dengan penggunaaan kalimah ALLAH dalam kalangan bukan Islam tetapi hanya Pas yang tidak bersetuju menerusi Majlis Syura.

Hadi bagaimanapun ketika ditanya berhubung perkara itu meminta media merujuk kepada kenyataannya yang dikeluarkan dalam Harakah.

Menerusi semakan yang dibuat di laman web Harakahdaily.net, kenyataan media yang dikeluarkan pemimpin itu hanyalah yang bertarikh 14 Januari lalu dan dirasakan tidak relevan bagi menjawab ketidakpuasan hati Karpal bersabit isu tersebut.

Karpal semalam berkata, DAP kesal dengan kenyataan Pas yang mengesahkan bahawa isu penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan bukan Islam sudah selesai.

"Saya kesal dengan kenyataan itu. Isu ini belum selesai dan DAP tetap dengan pendiriannya.

"Kita masih meminta Majlis Syura Pas untuk mempertimbangkan supaya kalimah ALLAH boleh digunakan oleh orang bukan Islam," katanya.

Karpal juga menafikan ada berbincang mengenai hal itu ketika Nik Aziz berkunjung ke kediamannya minggu lalu.

Pas tidak mahu 'dipatuk' UMNO sekali lagi

Dilihat teguh dengan pendirian bahawa Pakatan Rakyat adalah perikatan yang kukuh, Hadi Awang hari ini menegaskan, Pas sama sekali tidak akan mengulangi jalinan kerjasama politiknya dengan UMNO.

"Kita sudah bekerjasama sebelum ini dan kita telah dikhianati. Kita tidak akan adakan sebarang kerjasama politik lagi dengan Umno.

"Kita tidak akan dipatuk melalui satu lubang yang sama sekali lagi," tegas pemimpin utama parti itu ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Perdana Ummah bersama Pas dekat sini hari ini.

Jelas Hadi, Pas sama sekali tidak akan mengkhianati janjinya kepada rakyat walaupun terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu termasuk Umno untuk memporak-perandakan Pas dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

"Bukan kita tak boleh bekerjasama. Dalam isu Palestin, kita boleh bekerjasama... Dalam isu politik tak boleh kerjasama," tegas Hadi lagi.

Bahkan ujarnya Pas sama sekali tidak akan berganjak daripada pendirian bahawa penggabungannya bersama-sama PKR dan DAP adalah satu perikatan utuh untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang diimpikan rakyat.

"Mesej Pas, kita tidak akan berganjak. Kerjasama Pakatan Rakyat, Pas menerima dengan syarat apa yang ada dalam Perlembagaan, Islam agama Persekutuan, agama lain dilayan dengan adil, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, hak adil kepada semua kaum, ini suruhan Islam.

"Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bahasa ibunda ada hak, bahasa asing boleh belajar, Raja mesti ikut Perlembagaan, ini kita terima," kata Hadi.

Pada majlis pada hari ini kira-kira 200 ahli baru Pas dari pelbagai latar belakang berkongsi impian dan harapan mereka dalam Pas khususnya dan Pakatan Rakyat amnya dalam menghadapi pilihan raya paling genting ini seterusnya membentuk kerajaan baru di Putrajaya.

Turut serta dalam majlis ini ialah ahli baru Pas daripada golongan akademik, profesional, agamawan, mahasiswa, artis dan ramai lagi.

'Walau cerai, Nasha tetap ahli Pas'

Pas mempunyai garis panduan dan penilaiannya sendiri dalam menentukan bahawa bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa masih boleh kekal sebagai ahli parti itu meskipun digugurkan dari Majlis Syura.

Namun Hadi  menegaskan, cara penilaian itu dibuat adalah hak mutlak parti yang tidak boleh didedah kepada umum.

"Masih ahli. Orang bercerai pun, bercerai talak satu, talak dua, talak tiga.

"Itu terpulang kepada penilaian kita. Tak berhak kita dedahkan kepada orang penilaian kita sendiri. Bahkan dalam sejarah Pas bukan kali pertama kita pecat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Perdana Ummah di sebuah hotel dekat ibu negara hari ini.

Menurut Hadi lagi, bukan satu perkara yang aneh dalam parti itu jika seorang ahli Pas yang dilucutkan jawatan boleh kembali menjawat jawatan tertentu dalam parti.

"Setiausaha Agung Pas juga pernah dipecat pada tahun 70-an, pada tahun 80-an dia masuk balik," katanya.

Nasharudin semalam menegaskan beliau akan kekal sebagai anggota Pas untuk memastikan perjuangan asal parti dalam menegakkan Islam dan membela orang Melayu tidak 'dicairkan' berikutan hubungan parti itu dengan PKR dan DAP.

Katanya, beliau menyertai Pas kerana parti itu dahulunya sentiasa konsisten dalam memperjuangkan isu Islam.

Mengulas pandangan itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Nasharudin boleh menyatakan apa sahaja.

Namun segala dasar parti itu adalah tertakluk kepada Majlis Syura dan kepimpinan Pas Pusat, katanya.

"Dia masih ahli Pas. Dasar Pas ditentukan oleh Majlis Syura dan Pas Pusat.

"Jadi walau apa pun pandangan dia, itu adalah pandangan peribadi dia. Tetapi selagi Pas ada Majlis Syura ada Jawatankuasa Pas Pusat untuk memutuskan urusan parti, itu adalah tanggungjawab kami untuk melaksanakan tugas-tugas parti," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment