My Add

Sunday 3 February 2013

Majoriti rakyat faham usaha kerajaan pupuk perpaduan: Hishammuddin

MELAKA, AHAD, 03 Februari, 2013: Majoriti rakyat memahami usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan kaum di negara ini melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, kerana itu juga majoriti rakyat menolak perbuatan sesetengah pihak yang cuba mencetus kebencian kepada kerajaan dengan menabur fitnah serta menggalakkan provokasi.

"Ini bukan budaya dan amalan kita dan sebagai majoriti kita menolak sikap segelintir minoriti ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran 'My Beautiful Malaysia Day' peringkat Melaka, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, budaya fitnah dan provokasi itu termasuk membabitkan isu sensitif akan berterusan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Bila ada kes sebegini, polis akan melakukan siasatan secara telus dan hanya bertindak terhadap pihak bertanggungjawab selepas mendapat pengesahan dan bukti kukuh, katanya.

Ini bagi mengelakkan perkara itu menjadi lebih buruk dan inilah yang dikehendaki pihak terbabit, katanya.

Sementara itu lebih 100,000 rakyat di negeri ini menyertai program berkenaan yang berlangsung serentak di 100 lokasi di seluruh negara.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment