My Add

Tuesday 5 February 2013

Jangan potong wang bantuan

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

*MOHD. Puad Zarkashi melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Simpangan di Paitan, Beluran, kelmarin.

BELURAN, ISNIN, 04 Februari, 2013: Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana sekolah yang bertindak memotong Bantuan Awal Persekolahan RM100 yang diberikan kepada pelajar kerana tindakan itu akan menggagalkan matlamat memastikannya sampai terus kepada ibu bapa atau pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyalahgunakan bantuan itu untuk membuat apa-apa bayaran.

Tegasnya, bantuan tersebut seharusnya sampai ke tangan pelajar atau ibu bapa pelajar dan tidak boleh digunakan pihak sekolah atau PIBG meskipun melibatkan pembayaran aktiviti pelajar di sekolah.

"Jika kementerian mendapat laporan berhubung penyalahgunaan bantuan ini, kita akan meminta pihak sekolah atau PIBG menggantikannya semula kepada pelajar. Kita mahu ibu bapa dan pelajar merasai bantuan ini.

"Tiada alasan jika wang itu telah digunakan atau pihak tersebut tidak mempunyai wang untuk membayarnya, kita akan pastikan wang tersebut dibayar semula dengan jumlah penuh seperti jumlah pemotongan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran pecah tanah projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan, Daerah Kecil Paitan di sini semalam.

Berhubung pembinaan SMK Simpangan, Mohd. Puad berkata, peruntukan sebanyak RM25.6 juta disediakan bagi membina pejabat pentadbiran dan 12 bilik darjah di sekolah pedalaman tahap dua itu yang dijangka siap April tahun depan.

Tambahnya, kementerian bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta lagi bagi membina kemudahan itu kerana menyedari terdapat keperluan mendesak untuk pembinaan asrama di sekolah tersebut.

"Selain terpaksa berjalan jauh untuk sampai ke sekolah ini, pelajar juga terpaksa menggunakan bot.

"Diharap kemudahan asrama ini akan memberi keselesaan kepada para pelajar yang berada di kawasan yang jauh dari sekolah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment