My Add

Tuesday 5 February 2013

Rumah pangsa dibina tanpa pilih kasih

*CHOR Chee Heung melawat sekitar kawasan rumah pangsa selepas majlis penyerahan Program Penyenggaraan Perumahan (PPP), Rumah Pangsa Templer, dekat Seremban, semalam.

SEREMBAN, ISNIN, 04 FebRUARI, 2013:Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memilih bulu dalam membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dengan membina rumah pangsa termasuk di negeri diperintah pembangkang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, sebanyak 48 projek rumah pangsa akan dilaksanakan bermula awal tahun ini membabitkan kos berjumlah RM543 juta.

"Projek ini dirancang lebih awal, walaupun mandat sebagai kerajaan tamat April ini, usaha ini tetap dilaksanakan dan diuruskan Jabatan Perumahan Negara.

"Golongan yang layak menduduki rumah pangsa itu adalah keluarga berpendapatan rendah. Projek pembinaan dan penyelenggaraan yang dilakukan ini bukan kerana pilihan raya umum, tetapi tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat di negara ini," katanya.

Beliau berucap dalam majlis penyerahan Program Penyenggaraan Perumahan (PPP), Rumah Pangsa Templer, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Siow Chen Pin.

Chee Heung berkata, sejak 2011 hingga tahun lalu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM55.6 juta bagi pembinaan 140 perumahan awam di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 17,000 rakyat.

Tambah beliau, tahun ini kerajaan akan melaksanakan 67 projek membaik pulih di bawah program PPP membabitkan peruntukan RM40 juta dengan kebanyakan projek itu terletak di kawasan bandar.

"Projek baik pulih ini dijalankan secara berperingkat di seluruh negara dan setiap kawasan kosnya berbeza, jika perlu kerajaan akan menambah peruntukan bergantung kepada keadaan semasa," katanya.

"Saya suka menyarankan penduduk rumah pangsa menubuhkan jawatankuasa khas atau persatuan penduduk bagi memastikan kawasan rumah sentiasa bersih, selesa dan kemudahan yang disediakan seperti lif dan sistem pendawaian dapat berfungsi dengan baik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment