My Add

Tuesday 26 February 2013

Jumlah mangsa banjir dipindah terus meningkat

KOTA BHARU, SELASA, 26 Februari, 2013: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kelantan terus meningkat lebih sekali ganda kepada 477 orang pada malam ini berbanding pada sebelah petang kira-kira 200 orang.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah terbanyak yang dipindahkan adalah di Kuala Krai iaitu 257 orang diikuti Tanah Merah (111), Pasir Puteh (97) dan Machang (12).

Mereka terdiri daripada 110 keluarga yang dipindahkan di 10 pusat pemindahan.

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat naik melepasi bahaya iaitu 9.95 meter (bahaya 9 meter) manakala di Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah turut melepasi paras yang sama 17.15 meter (bahaya 16 meter).

Banjir yang mula melanda Kelantan hari ini turut meragut dua nyawa pelajar Sekolah Menengah Temangan yang masing-masing berumur 15 dan 13 tahun ketika bermain air banjir.

Tiada jalan utama yang ditutup kepada laluan setakat ini dan Kelantan dilaporkan masih mengalami hujan yang sesekali lebat

308 dipindahkan ke enam pusat pemindahan di Perak

IPOH: Seramai 308 penduduk dari beberapa penempatan di tiga daerah iaitu Manjung, Perak Tengah dan Larut, Matang dan Selama (LMS) dipindahkan ke enam pusat pemindahan susulan banjir kilat, sejak petang semalam.

Daerah Perak Tengah paling teruk terjejas apabila 190 penduduk terdiri daripada 39 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan, diikuti 70 mangsa dari daerah Manjung dan 48 mangsa dari LMS.

88 penduduk Kg. Ampar Tenang, Kg. Lalang dipindah

SEPANG: Seramai 88 mangsa terpaksa dipindahkan akibat banjir kilat sedalam kira-kira semeter melanda Kampung Ampar Tenang dan Kampung Lalang di sini selepas hujan lebat lebih sejam petang tadi.

Timbalan Penolong Pengarah Bomba (Operasi) Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan sepuluh penduduk yang terperangkap pada kira-kira 5.40 petang.

Beliau berkata, lima pegawai dan 38 anggota dari Balai Bomba Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dikerah ke tempat kejadian bagi membantu memindahkan mangsa.

"Tujuh warga emas dan tiga bayi, termasuk seorang pesakit angin ahmar, berjaya diselamatkan dalam operasi tersebut," katanya ketika dihubungi.

Mohd. Sani tidak menolak kemungkinan jumlah mangsa yang dipindah bertambah memandangkan operasi menyelamat masih dijalankan, dan dibantu anggota Jabatan Perkhidmatan Awam serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, semua mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ampar Tenang dan Dewan Orang Ramai Kampung Lalang.  


9 sekolah di Kelantan ditutup esok akibat banjir

KOTA BHARU: Sembilan sekolah di Kelantan di sekitar Rantau Panjang akan ditutup esok akibat banjir yang turut melanda beberapa jajahan di negeri itu.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, ia membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang; Sekolah Menengah Agama Kerajaan (SABK) Diniah, Bongor; Sekolah Kebangsaan (SK) Rahmat; SK Kok Pauh; SK Kampung Baru; SK Kubang Kuau; SK Baroh Pial; Sk Lubok Stol dan SK Rantau Panjang.

Beliau berkata, 17 sekolah lagi turut digenangi air dan pelajar dibenar pulang awal hari ini demi keselamatan mereka.

"Pelajar sekolah berkenaan dibenarkan pulang lebih awal mulai 9.55 pagi hingga 12.35 tengah hari," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya, sekolah tersebut melibatkan kawasan pentadbiran empat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) iaitu Kuala Krai, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Hussain berkata, dua sekolah di kawasan PPD Pasir Puteh dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir iaitu SK Kamil melibatkan sembilan mangsa dan SK Canggal sebanyak 20 orang.

109 penduduk di Pasir Puteh, Tanah Merah dipindah kerana banjir

PASIR PUTEH: Sebanyak 20 penduduk Kampung Daram Buaya, Gaal di sini terpaksa dipindahkan malam tadi selepas kediaman mereka ditenggelami banjir.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh berkata, mangsa meliputi enam keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Changgai di sini.

"Pihak kami menjangka lebih ramai lagi akan dipindah berikutan hujan lebat sejak semalam masih berterusan sehingga pagi ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan rendah di sini mendapati penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Semerak sedang bersedia untuk berpindah berikutan paras air di sungai itu semakin meningkat.

Sementara itu, di TANAH MERAH, 89 penduduk dipindah ke tiga pusat pemindahan banjir pagi ini selepas hujan lebat menyebabkan banjir melanda kampung mereka.

Menurut portal rasmi banjir negeri Kelantan, mereka terdiri daripada 22 keluarga di Ulu Kusial dan Bukit Panau, ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kulim, SK Bukit Panau dan Dewan Padang Kijang.

Dua sungai di Kelantan telah melebihi paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang iaitu 9.14 meter, manakala Sungai Semerak di Pasir Puteh pula 21 meter.

Laluan Kilometer 11, Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjung-Rantau Panjang di Kampung Siram turut ditutup kepada kenderaan ringan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan keadaan cuaca di seluruh Kelantan pagi ini dilaporkan mendung dengan sesekali hujan lebat.

20 penduduk di Pasir Puteh dipindah 

PASIR PUTEH: Sebanyak 20 penduduk Kampung Daram Buaya, Gaal di sini, terpaksa dipindahkan malam tadi selepas kediaman mereka ditenggelami banjir.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh berkata, mangsa meliputi enam keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Changgai, di sini.

"Pihak kami menjangka lebih ramai lagi akan dipindah berikutan hujan lebat sejak semalam masih berterusan sehingga pagi ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan rendah di sini mendapati penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Semerak sedang bersedia untuk berpindah berikutan paras air di sungai itu semakin meningkat.

SK Kampung La di Hulu Besut ditutup

BESUT: Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di Hulu Besut di sini terpaksa ditutup hari ini berikutan ramai pelajar dan gurunya tidak dapat hadir ke sekolah ekoran beberapa jalan ke sekolah itu dinaiki air antara 0.6 meter hingga 1.3 meter.

Laluan terbabit ialah di Kilometer (Km) 27, Jalan Jerteh-Keruak dekat Sungai Patong dan di Km13 dekat Kampung Gertak Jerbun.

Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab Halim Hassan ketika dihubungi Bernama berkata, sekolah itu diberikan kebenaran cuti berganti.

Katanya, beliau juga dimaklumkan ramai guru yang mengajar di Sekolah Menengah Bukit Payong, SK Tenang, SK Panchor dan SK Keruak di daerah itu juga tidak dapat pergi ke sekolah masing-masing dan terpaksa melapor diri di sekolah berdekatan yang tidak terjejas dengan banjir.

Ini berikutan jalan ke Hulu Besut dari Jerteh dinaiki air di beberapa tempat seperti di Kampung Gertak Jerbun, Pasir Akar dan Lepang Kejor di Darau, katanya.

"Sekiranya keadaan banjir didapati bertambah buruk, pihak sekolah perlu mengambil langkah segera bagi mengisytiharkan cuti bagi sekolah mereka," katanya.

Sementara itu, tinjauan ke beberapa lokasi di Kampung Pasir Akar mendapati paras air yang naik akibat limpahan Sungai Besut sejak petang semalam masih tidak berubah.

Penduduk dilihat memantau keadaan paras air sungai sebelum bertindak untuk berpindah di pusat-pusat pemindahan yang disediakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment