Karpal jangan campur tangan isu perebutan
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Februari, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh diminta tidak campur tangan dalam isu pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor.
Bekas Ketua PKR Ranting Sepang Selatan, Mafhul Wahid berkata, sebarang pertikaian antara parti-parti pakatan pembangkang di Johor sepatutnya diselesaikan di peringkat pimpinan negeri.
Menurut beliau, tindakan Karpal memberi sokongan secara terbuka kepada Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau hanya menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk.
Sebenarnya, isu perebutan kerusi dalam pembangkang di Johor sudah lama berlaku dan bertambah panas memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin dekat.
Bagaimanapun, pakatan pembangkang di Johor tidak memerlukan pihak luar termasuk Karpal masuk campur dalam isu itu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua DAP Cawangan Pantai Sepang, R. Vellasamy.
Baru-baru ini, konflik perebutan kerusi antara PKR dan DAP memuncak apabila Cheng Hau membuat kenyataan meminta Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng dilucutkan jawatan.
Cheng Hau mendakwa, Jui Meng sedang melancarkan kempen secara rahsia terhadap DAP di Johor.
Kerjasama pakatan pembangkang di Johor yang sememangnya rapuh semakin terjejas ekoran tindakan Karpal memihak kepada Cheng Hau sambil menyuarakan keraguannya terhadap kredibiliti Jui Meng. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment