My Add

Thursday 21 February 2013

Konsert Nusantara di Istana Budaya Mac ini

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Barisan artis ternama Malaysia dan Indonesia akan bergabung tenaga bagi menjayakan Konsert Nusantara pada 7 hingga 9 Mac ini, pukul 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya di sini.

Konsert cetusan idea daripada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu akan menampilkan antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Amy Search, Hafiz, Rossa, Endang S. Taurina dan Elly Kassim.

Siti Nurhaliza, Rossa, Endang S.Taurina, Elly Kassim, Hafiz, Jimmy Palikat dan Bob akan tampil mengadakan persembahan pada malam 7 Mac.

Persembahan pada malam kedua akan dijayakan oleh Black, Stacy, Endang S. Taurina dan Elly Kassim. Sementara itu, Ziana Zain dan Amy Search, sekali lagi bersama Endang dan Elly bakal menghiburkan para penonton pada malam penutup.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, objektif konsert ini adalah bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyaksikan kekayaan lagu, muzik dan tari nusantara dengan penekanan budaya masyarakat tempatan dan Indonesia.

"Konsert ini membawa tema Kita Serumpun Kita Bersaudara. Persembahan ini akan memaparkan asimilasi budaya dengan adanya lagu, muzik dan pelbagai jenis tarian dari masyarakat Bugis, Bawean, Aceh, Minang, Jawa, Sunda dan Mandailing.

"Pementasan ini bertujuan memaparkan dua negara serumpun yang mana penghijrahan antara masyarakat tersebut telah menyebabkan gabungan dan percampuran budaya di Malaysia dan terdapat sedikit persamaan namun tetap terserlah perbezaan budaya antara dua negara," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Tegasnya, konsert yang diterbitkan oleh Istana Budaya itu juga menunjukkan hubungan intim Malaysia dan Indonesia menjayakan sebuah pementasan.

Tiket-tiket boleh dibeli pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200, RM250 dan RM300 serta boleh didapati di laman web redtix.airasia.com atau http://www.airasiaredtix.com/ dan juga boleh hubungi terus di talian 03-8775 4666. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment