My Add

Thursday 21 February 2013

Tikam rakan selepas bertemu

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
KLUANG, KHAMIS, 21 Februari, 2013: Polis menahan seorang pemuda kerana menikam dua rakannya sehingga menyebabkan seorang daripada mereka mati dalam pergaduhan di sebuah pusat beli-belah di sini petang kelmarin.

Pergaduhan pukul 5 petang itu dipercayai berlaku selepas timbul perselisihan faham antara suspek berusia 27 tahun dengan dua rakannya yang berusia dalam lingkungan usia 30-an.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, tiga sahabat itu dipercayai bertemu di pusat beli-belah berkenaan sebelum bergaduh dan menyebabkan dua daripada mereka diserang menggunakan gunting.

"Dalam serangan itu, suspek telah menikam kedua-dua rakannya menggunakan gunting tersebut sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di badan.

"Panik dengan kecederaan rakannya, suspek cuba melarikan diri bersama gunting yang berlumuruan darah, bagaimanapun dia berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai dan anggota polis yang meronda di tempat kejadian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini namun seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan hospital berkenaan.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dan saksi kejadian diminta tampil mambantu siasatan kes tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment