My Add

Friday 15 February 2013

Mangsa banjir daerah Dungun terima bantuan

DUNGUN, KHAMIS, 14 Februari, 2013:: Sebanyak 2,112 penduduk daerah Dungun hari ini menerima bantuan banjir daripada kerajaan negeri membabitkan RM1.055 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata bantuan yang disampaikan hari ini adalah bantuan kepada mangsa banjir yang pertama dan selepas ini bantuan serupa akan diagihkan untuk penduduk daerah Kemaman.

Rata-rata penduduk bersyukur di atas pemberian bantuan itu dan bagi Sarol Salim, 36, dari Kampung Minda, Jerangau dekat sini mengakui bantuan yang diagihkan kerajaan sangat banyak dan dalam pelbagai bentuk.

"Seperti hari ini saya menerima RM500 bantuan kerajaan negeri. Semalam saya sudah terima RM500 sumbangan kerajaan pusat. Itu belum kira bantuan anak sekolah, baiki rumah, dana raya dan sebagainya.

"Sehari dua lagi saya juga akan memperoleh RM500 dalam program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya kepada Bernama selepas menerima bantuan daripada Menteri Besar di sini hari ini.

Seorang lagi penerima bantuan banjir, Azmanizam Abdul Razak, 33, dari Kampung Tepus dekat sini berkata banjir jarang berlaku di kampungnya, namun tahun ini ia terjadi dengan tiba-tiba.

"Kebanyakan penduduk di sini mengalami kerugian harta benda tidak kurang RM1,000 apabila rumah mereka dinaiki air sedalam antara satu meter dan dua meter," katanya.
Azmanizam berkata beliau bersyukur di atas bantuan kerajaan itu yang sememangnya memahami nasib yang menimpa rakyat.

Terengganu antara negeri yang terjejas teruk akibat bencana banjir Disember lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment