My Add

Saturday, 16 February 2013

MPM desak Peguam Negara tegas terhadap individu cabul budaya negara

KUALA LUMPUR, SABTU, 16 Februari, 2013: Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendesak pihak berkuasa termasuk Jabatan Peguam Negara supaya lebih proaktif dan tegas terhadap individu yang mencabul budaya dan tamadun rakyat negara ini.

MPM dalam kenyataan hari ini berkata, Jabatan Peguam Negara yang bertanggungjawab menjaga kepentingan perundangan seharusnya menasihatkan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia untuk menyediakan kertas pertuduhan yang tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu.

MPM akan bersidang tidak lama lagi dan salah satu agenda ialah menyediakan memorandum bagi diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendesak jabatan itu lebih berkredibiliti dalam menjaga, melindungi dan mempertahankan perundangan rakyat.

Kenyataan MPM itu dikeluarkan sebagai mengulas kejadian seorang juruukur, Leong Pei Koe, 29, yang dihukum pejara sebulan dan denda RM8,000 pada Rabu lalu kerana menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan pegawai polis Asisten Superintendan Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang menjatuhkan hukuman itu selepas Leong mengaku bersalah melakukan kesalahan itu semasa kenderaan rasmi yang membawa baginda melalui balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

MPM berpendapat kertas pertuduhan yang lebih keras wajar dikenakan ke atas Leong kerana banyak peruntukan perundangan yang boleh disabitkan dengan kesalahan itu dan ia boleh dilakukan jika Jabatan Peguam Negara memainkan peranannya dengan lebih serius.

Menurut majlis itu lagi insiden pencabulan budaya dan tamadun seperti yang dilakukan Leong boleh berkembang dan merebak kepada mereka yang ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang porak-peranda.
"Kejadian itu akan diburukkan lagi jika perkara itu dipolitikkan oleh institusi politik demi kepentingan mereka," katanya.

MPM mewakili 282 badan bukan kerajaan (NGO) dengan jumlah keahlian melebihi 3.5 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment