My Add

Saturday 16 February 2013

Robert Kuok, Ananda Krishnan kekal individu terkaya Malaysia

 Robert Kuok
KUALA LUMPUR, SABTU, 16 Februari, 2013: Robert Kuok, hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak 0.88 peratus daripada RM45.7 bilion tahun lalu, diikuti oleh ahli perniagaan, Ananda Krishnan dan Pengerusi/CEO Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.

Ananda, yang menduduki tempat kedua sejak 2004, mengalami penyusutan kekayaan terbesar apabila ia merosot 23.5 peratus dari tahun lalu, dengan aset yang dipegang melalui Usaha Tegas Sdn Bhd bernilai RM32.90 bilion setakat tarikh pengiraan pada 18 Januari 2013. 

Teh, mengekalkan kedudukannya bagi tahun ketiga berturut-turut dengan aset 
bernilai RM13.73 bilion, demikian menurut Malaysian Business, majalah perniagaan perdana Malaysia dalam terbitan 16 Februari.

Ia berkata, kekayaan tergabung 40 individu terkaya Malaysia itu meningkat
sedikit tahun ini meski pun dalam keadaan pasaran modal yang turun naik dan tidak menentu.

Secara kolektif, 40 orang terkaya Malaysia itu bernilai RM194.86 bilion pada 18 Januari.

Ia adalah peningkatan kecil sebanyak 0.86 peratus berbanding RM193.2 bilion setahun lalu.

Ketika Malaysian Business mula-mula menilai kekayaan 40 individu terkaya
Malaysia pada 2002, aset tergabung mereka berjumlah RM41.7 bilion dan Robert
Kuok Hock Nien muncul pada kedudukan teratas.

Majalah itu berkata, keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan,
yang melonjak daripada kedudukan keenam tahun lalu, menggantikan Tan Sri Lee
Shin Cheng dari IOI Group, yang turun ke tempat keenam.

Kekayaan Quek, melalui syarikat utamanya, Hong Leong Group dan Guoco Group,
bernilai RM11.09 bilion tahun ini.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengekalkan kedudukan kelimanya tahun ini
dengan kekayaan berjumlah RM10.60 bilion, meningkat daripada RM9.53 bilion tahun lalu.

Tan Sri Lee Shin Cheng, melalui syarikatnya, IOI Group, turun dari kedudukan
keempat pada 2012 ke tempat keenam dengan aset bernilai RM10.56 bilion.

Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay, dan ibunya, Puan Sri Lee Kim
Hua, masing-masing masih pada kedudukan ketujuh dan kelapan.

Kekayaan Lim bertambah 7.06 peratus kepada RM8.12 bilion manakala Lee menambah kekayaannya sebanyak 9.82 peratus kepada RM7.23 bilion.

Tan Sri Tiong Hiew King, melalui jenteranya, Rimbunan Hijau Sdn Bhd, berada
di tempat kesembilan tahun ini dengan aset bernilai RM6.35 bilion, susut 1.01
peratus daripada kekayaannya tahun lalu.

Melengkapi senarai 10 terkaya ialah jutawan harta yang berpangkalan di
Singapura, Ong Beng Seng, melalui Hotel Properties Ltd, dengan kekayaan
berjumlah RM4.02 bilion, selepas mengalami penyusutan sebanyak 18.36 peratus
daripada tahun lalu.

Malaysian Business berkata, satu hakikat menarik ialah sejak 2002, seramai 81
tikun telah menyertai senarai 40 Orang Terkaya Malaysia dan daripada jumlah itu,
15 berjaya terus kekal dalam senarai.

Keseluruhannya, peningkatan kukuh kekayaan hartawan-hartawan ini boleh
dikaitkan dengan prestasi pasaran saham dan inflasi harga, memandangkan
sebahagian besar kekayaan mereka adalah berdasarkan pegangan saham
masing-masing.

Ia juga mencerminkan prestasi syarikat mereka dan pertumbuhan positif
ekonomi Malaysia dalam 12 tahun lalu.

Bagi tahun ini, ada 31 jutawan bertambah seorang lagi sejak tahun lalu, dan 23 daripada 40 orang dalam senarai itu menyaksikan aset mereka meningkat
daripada tahun lalu.

Daripada seramai ini, 14 mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 10 peratus.

Senarai itu juga mencatat tiga pendatang baru.

Datuk Desmond Lim dari Pavilion REIT muncul kali pertama dalam senarai itu pada tempat ke-15, dengan kekayaan bernilai RM1.869 bilion.

Dua lagi, Datuk Tan Heng Chew dari Tan Chong Motors Holding dan Tan Sri Kua Sian Kooi dari KSK Group, memasuki semula senarai itu, masing-masing pada tempat ke-37 dan ke-40.

Senarai penuh 40 taikun dan perincian kekayaan masing-masing disiarkan dalam
majalah itu.

Ia juga memaparkan senarai 10 tikun terkaya dalam Pasaran ACE.

Seperti pada tahun lalu, kekayaan 40 individu dalam senarai itu dinilai berdasarkan pegangan kepentingan masing-masing dalam syarikat-syarikat
tersenarai pada 18 Januari.

Malaysian Business diterbitkan oleh Berita Publishing Sdn Bhd. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment