My Add

Sunday 3 February 2013

MTEM mahu Presiden Petronas diganti

KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Februari, 2013: Sebanyak 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu mahu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Shamsul Azhar Abbas meletak jawatan daripada menerajui syarikat khazanah yang menjadi ikon negara ini.

Kesemua NGO yang bergabung di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendakwa Petronas di bawah kepimpinan Shamsul Azhar gagal menjalankan tanggungjawab dan matlamat penubuhan iaitu meningkatkan ekonomi usahawan bumiputera, khususnya dalam bidang minyak dan gas.

Pengerusi MTEM, Datuk Syed Ali Mohamed Alattas mendakwa, antara punca utama syarikat nadi negara itu gagal dalam penubuhannya kerana lebih mengutamakan syarikat asing yang sebahagiannya tidak mempunyai lesen Petronas seperti termaktub dalam undang-undang.

"Oleh kerana itu, kita akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendesak Shamsul Azhar disingkirkan dan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita memang kecewa dengan Presiden Petronas, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Petronas telah lari daripada hala tuju dan matlamat asal untuk membantu komuniti usahawan Melayu," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MTEM kali pertama dekat sini hari ini.

Syed Ali yang juga Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata, MTEM kecewa dengan sikap Presiden Petronas yang tidak serius dalam menjawab keresahan komuniti MTEM apabila menolak sebanyak tiga kali pertemuan dengan pihak majlis.

Beliau memberitahu, Petronas sejak sekian lama telah gagal membuka tender terbuka kepada syarikat-syarikat Melayu yang berkaitan minyak dan gas, sebaliknya bertindak memberikan kontrak kepada syarikat berkepentingan asing yang bermasalah termasuk mempunyai rekod tuduhan rasuah.

Selain itu, beliau mendakwa, Petronas di bawah pimpinan Shamsul Azhar turut meletakkan warga asing dan bekas ketua-ketua daripada syarikat pesaing mengisi posisi strategik dalam Petronas walaupun terdapat calon dalaman yang layak.

Lebih mendukacitakan jelas Syed Ali, pelbagai polisi baharu dan halangan telah diadakan oleh Petronas, menyebabkan syarikat perusahaan kecil dan sederhana Melayu tempatan kehilangan pekerjaan dan lesen semasa memperbaharuinya daripada Petronas termasuklah Steel Structure, Swac Code dan Detail Design Engineering.

"MTEM telah mengadakan pertemuan dengan Penasihat Petronas, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 19 Disember lalu dan beliau menasihatkan agar kami berbincang dengan Shamsul Azhar, bagaimanapun, Presiden Petronas itu seolah-olah enggan menemui kami.

"Sehubungan itu, diharap Perdana Menteri dapat mengambil tindakan segera demi kepentingan rakyat. Kami mahu Petronas menjadi syarikat milik kerajaan (GLC) yang berpegang kepada janji dan sentiasa mengenang budi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment