My Add

Friday 8 February 2013

Muhyiddin tinjau dua pasar malam di Perlis

KANGAR, KHAMIS, 07 Februari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meninjau pasar malam Titi Chai, Utan Aji dekat sini dan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung pasar yang beroperasi dua kali seminggu itu.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri diiringi Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu di pasar malam itu disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Sempena tinjauan itu, Shahidan turut menyerahkan memorandum kepada Muhyiddin yang antara lain meminta kerajaan memberi pertimbangan sara hidup kepada pesawah berpendapatan kecil sebagaimana yang diterima nelayan.

Selain itu, melalui memorandum itu juga, beliau memohon peruntukan kerajaan pusat bagi meningkatkan taraf pasar malam Titi Chai supaya menjadi pasar malam berbumbung.

Pasar malam yang menempatkan kira-kira 50 peniaga itu beroperasi setiap Khamis dan Ahad dari jam 5 petang sehingga 10.30 malam.

Muhyiddin kemudiannya meninjau pasar malam Pauh dekat sini dan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung pasar malam yang berlangsung setiap Khamis itu.

Pada kunjungan itu, Muhyiddin yang diiringi ADUN Pauh, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail turut mencuba bakatnya membuat kuih apam balik di sebuah gerai di pasar malam itu.

Beliau kemudiannya singgah di Restoran Seri Pauh yang terletak di kawasan pasar malam itu dan menikmati minum petang bersama penduduk tempatan.

Muhyiddin berada di Perlis bagi lawatan kerja sehari yang padat bermula sebelah pagi dan berakhir dengan menghadiri majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini malam ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment