My Add

Friday 8 February 2013

Tempoh sah penggunaan BB1M 2013 lima bulan bermula 1 Januari

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Februari, 2013: Penerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) berjumlah RM250 yang mula diagihkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam, swasta serta politeknik awal tahun ini diingatkan bahawa tempoh sah laku penggunaannya adalah selama lima bulan bermula 1 Januari.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan di sini hari ini, menjelaskan bahawa inisiatif yang diberikan secara sekali sahaja bagi sesi 2013 itu juga sama sekali tidak boleh ditukar ke dalam bentuk wang tunai atau dijual kepada pihak ketiga.

Kenyataan itu turut menyebut hanya pelajar yang sedang melanjutkan pengajian dan berstatus aktif di matrikulasi, tingkatan enam, politeknik, IPT awam mahupun swasta tempatan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini layak untuk menerima BB1M.

Selain itu, pelajar yang sedang mengikuti pengajian di bawah program kerjasama dan mendaftar di bawah anak syarikat IPT berkenaan serta berada di dalam negara sepanjang tempoh pelaksanaan BB1M turut layak menjadi penerima.

Dalam masa yang sama kenyataan itu turut menggariskan beberapa tatacara terhadap penggunaan BB1M yang antaranya baucar hanya boleh digunakan bagi pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah berdasarkan keperluan institusi masing-masing.

Pelajar juga dikehendaki mengisi nama penuh berserta nombor kad pengenalan pada baucar itu semasa ia dituntut manakala penggunaan BB1M boleh dilakukan dengan hanya mengemukakan kad pengenalan masing-masing di mana-mana kedai buku yang mengambil bahagian.

"Sekiranya jumlah pembelian buku itu ada berbaki sedikit, pelajar dibenarkan membeli peralatan pembelajaran seperti buku catatan dan alat tulis, namun jika jumlah yang dibeli melebihi RM250 pula, pelajar perlu membayar sendiri dan tidak boleh membuat tuntutan tambahan kepada kerajaan," kata kenyataan itu.
Pihak kedai buku yang terlibat pula boleh menuntut bayaran balik baucar melalui Bank Simpanan Nasional di samping mengepilkan resit pembelian pada setiap baucar semasa tuntutan dibuat sehingga 30 Jun tahun ini.

Kenyataan turut mengingatkan penerima BB1M supaya mematuhi tatacara dan prosedur dalam pelaksanaannya bagi mengelakkan sebarang penyelewengan.

"Mana-mana pihak yang didapati bersubahat dalam penyalahgunaan baucar ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.

"Justeru institusi terlibat berkuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak yang didapati bersalah dalam kes penyalahgunaan baucar ini," kata kenyataan itu lagi.

Pemberian BB1M diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2013, September tahun lepas dan dijangka memberi manfaat kepada 1.3 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak RM325 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment