My Add

Monday, 4 February 2013

Nafi boikot perasmian kampus Kuin

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR, AHAD, 03 Februari, 2013: Badan Perhubungan UMNO Kedah menafikan dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu memboikot majlis perasmian kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil Sungai Petani baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, ADUN terlibat bukan sengaja tidak mahu menghadiri majlis tersebut tetapi mempunyai program lain pada waktu sama.

"Kehadiran ADUN bergantung pada keadaan, bukan kita boikot. Jika ada kesempatan tentu kita pergi tetapi ada program lain yang terpaksa kita hadiri pada hari itu.

"Tidak perlulah buat tuduhan kita boikot. Apa untungnya kita buat perkara seperti itu lagipun Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat ke majlis itu," katanya kepada pemberita pada majlis pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kawasan Parlimen Alor Setar di Anak Bukit, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Azizan dalam satu ceramah di Pokok Sena baru-baru ini yang mendakwa majlis perasmian kampus induk tersebut diboikot oleh ADUN UMNO.

Hanya ADUN Bayu, Datuk Azmi Che Husin yang hadir ke majlis itu.

"Dahulu ketika BN mentadbir, sering kali juga ADUN Pas tidak hadir dalam majlis rasmi BN tetapi kita tidak pernah menuduh mereka memboikot pun," katanya.

Pada masa sama, beliau menempelak pemimpin parti pembangkang yang sering mempertikaikan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang belum membubarkan Dewan Rakyat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan.

"Perkara ini terletak di tangan Perdana Menteri, itu hak beliau. Menteri Besar sendiri pun kenapa tidak mahu bubarkan DUN.

"Usah dipertikaikan lagi perkara ini. Jangan kata Perdana Menteri tidak mendapat sokongan rakyat kerana sokongan rakyat semakin meningkat sebenarnya. Lihat sahaja majlis yang beliau hadiri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment