My Add

Friday 22 February 2013

Pas Kedah sudah goyah - Penganalisis politik

Oleh AZMAN IBRAHIM 
KUALA LUMPUR, JUMAATM 22 Februari, 2013: Kepimpinan Pas Kedah ternyata sudah goyah apabila penyokong dan ahli-ahli parti itu sendiri mendesak supaya Datuk Seri Azizan Abd. Razak meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas negeri.

Malah, desakan tersebut juga disifatkan sebagai petunjuk jelas berlakunya masalah dalaman parti di Kedah sejak sekian lama.

Penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, desakan itu berlaku kerana tidak ada kepercayaan terhadap kepimpinan Azizan selama ini.

Katanya, penyokong dan ahli-ahli Pas Kedah telah membaca keperluan mereka sebagai ahli dan merasakan Azizan tidak menepati ciri-ciri kepimpinan yang dikehendaki.

Malah, tambahnya, keadaan lebih parah apabila Pas Pusat pun tidak campur tangan dalam masalah di negeri-negeri, lebih-lebih lagi di Kedah.

"Desakan ini bukan pertama kali berlaku kepada Azizan, sebaliknya kali kedua. Namun, Azizan masih bijak dalam politik di negerinya dan berusaha mengekalkan jawatannya dengan menggunakan platform Pas Pusat.

"Sekarang, penyokong Pas Kedah dan ahli-ahlinya mahukan pemimpin yang berani dan tegas serta menjalankan tugas dengan betul," katanya berkata demikian kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Azizan ketika ditemui pemberita memberitahu, tindakan sekumpulan ahli dan penyokong Pas Kedah yang menggesa Dewan Ulama Pas negeri campur tangan dalam krisis kepimpinan terbaharu parti itu tidak menjejaskan kedudukan serta peranannya sebagai Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas Kedah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Limau menegaskan, ia memandangkan pelantikannya ke jawatan tersebut bukan dibuat Dewan Ulama Pas Kedah tetapi oleh Pas Pusat.

Katanya, Dewan Ulama Pas Kedah juga perlu bijak menilai gesaan yang dibuat kumpulan berkenaan yang didakwanya tidak mempunyai jawatan penting dalam parti itu kerana tidak seorang pun daripada mereka ahli jawatankuasa kawasan.

Dakwa Azizan, kumpulan itu membuat desakan berkenaan kerana bimbang calon pilihan mereka tidak tersenarai bertanding mewakili Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 sehingga cuba mengheret Dewan Ulama negeri campur tangan sedangkan ia perlu diserahkan kepada Pas Pusat.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr. Jeniri Amir menggesa Azizan mempertimbangkan desakan yang dibuat oleh penyokong dan ahli-ahli Pas Kedah itu sekiranya perkara itu sudah berlarutan.

Jelasnya, Menteri Besar Kedah itu perlu mengambil serius terhadap desakan yang dibuat sekiranya hal itu telah ditimbulkan bukan hanya daripada sekelompok penyokong parti.

"Sekiranya merasakan dirinya sudah tersasar daripada perjuangan parti, dia harus berundur," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment