My Add

Monday 25 February 2013

Penceroboh hadapi perpecahan dalaman

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
LAHAD DATU, AHAD, 24 Februari, 2013: Kumpulan bersenjata yang menceroboh Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu kini berada dalam keadaan tertekan akibat perbalahan sesama sendiri selain masalah kehabisan stok makanan.

Sejak Sabtu lalu, kumpulan kira-kira 150 penceroboh tersebut hanya bergantung kepada sumber tumbuh-tumbuhan untuk meneruskan kehidupan menyebabkan berlaku pemberontakan dalaman yang serius.

Kemuncaknya, lewat malam tadi terdapat cubaan daripada beberapa ahli kumpulan bersenjata tersebut menyerah diri kepada pihak berkuasa selepas tidak lagi yakin dengan objektif pencerobohan mereka.

Bagaimanapun usaha kumpulan yang dianggar kurang 10 orang itu berjaya dihidu pengikut yang masih setia kepada ketua penceroboh, Raja Muda Azzumudie, menyebabkan kesemua mereka ditangkap.

Ekoran kejadian tersebut beberapa das tembakan dilepaskan kumpulan penceroboh tetapi tidak dapat dipastikan sama ada itu tembakan amaran atau hukuman ke atas mereka yang mahu menyerah diri.

Berdasarkan rundingan dengan pihak berkuasa sebelum ini difahamkan, Raja Muda Azzumudie mengancam akan membunuh mana-mana anggotanya yang bertindak menyerah diri.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan kepada Utusan Malaysia ketika sesi rundingan dijalankan beberapa hari lalu, ada anggota kumpulan penceroboh memberitahu bahawa mereka sudah tawar hati.

Pada masa sama beliau berkata, keadaan di Kampung Tanduo terkawal hasil beberapa sesi rundingan dan optimis penceroboh akan menyerah diri sedikit masa lagi walaupun ketika ini masih berdegil.

"Mereka kini berada dalam keadaan tertekan kerana terputus bekalan makanan sejak seminggu lalu selepas pihak berkuasa mengetatkan kawalan sehingga pada jarak 300 meter daripada kumpulan penceroboh.

"Keadaan itu menyebabkan ramai anggota kumpulan penceroboh hilang fokus dan tidak yakin matlamat pencerobohan ini berjaya. Mereka mahu menyerah diri tetapi diancam Azzumudie," katanya di sini hari ini.

Pada 12 Februari sekumpulan kira-kira 150 lelaki bersenjata yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu menceroboh Kampung Tanduo dalam Felda Sahabat bagi menuntut negeri Sabah.

Kumpulan tersebut sehingga kini tetap berdegil enggan meninggalkan Kampung Tanduo walaupun pihak berkuasa memberi tempoh akhir untuk berbuat demikian sehingga esok atau berdepan tindakan ketenteraan.

Ditanya mengenai tindakan pengusiran menggunakan ketenteraan, sumber tersebut memberitahu, kerajaan tidak mahu dan cuba mengelak daripada berlaku sebarang pertumpahan darah.

"Kumpulan ini hanya dilengkapi senjata lama. Berdasarkan perkiraan, jika tindakan ketenteraan diambil kita mampu menumpaskan semua mereka dalam masa kurang 20 minit tetapi bukan itu matlamat kita.

"Sebaliknya kita mahu menangani isu ini dengan bijak tetapi pada masa yang sama tidak akan sesekali berkompromi soal kedaulatan. Kita juga tidak akan melayan sebarang permohonan mereka lagi.

"Kumpulan ini sekarang cuma ada satu pilihan iaitu menyerah diri dengan baik dan kita akan hantar kesemua mereka pulang ke Filipina. Tapi jika mereka masih mahu berdegil kita sudah bersedia sepenuhnya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment