My Add

Monday 25 February 2013

Lahad Datu terkawal, rundingan masih diteruskan

KANGAR AHAD, 24 Februari, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap menaruh keyakinan tinggi untuk mengambil pendekatan secara rundingan dengan kumpulan penceroboh yang menggelar diri sebagai Tentera Diraja Sulu di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, ini kerana langkah tersebut mampu menyelesaikan konflik itu dengan baik tanpa menimbulkan masalah yang lebih besar.

Bagaimanapun, kata beliau, PDRM sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi apa sahaja kemungkinan demi menjaga keamanan negara.

"Keadaan di Lahad Datu tetap terkawal, anggota kita (PDRM) sentiasa mengawal di sana," kata beliau kepada pemberita selepas Pelancaran Program Kesukarelawan Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Penanaman Pokok di Mes Pegawai Kanan Polis, Jalan Raja Muda di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Datuk Ayub Yaakob, Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Harun, pengarah dan bekas-bekas ketua polis negeri.

Ismail seterusnya meminta orang ramai tidak perlu risau kerana pihak polis sentiasa memantau keadaan di Lahad Datu.

"Saya sendiri mendapatkan maklum balas mengenai perkembangan di sana pada setiap hari," ujar beliau.

Sementara itu, kata beliau, latihan PDRM bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang berlangsung hari ini dan esok akan melibatkan semua peringkat jabatan dalam pasukan tersebut bagi memastikan pegawai dan anggotanya sentiasa bersiap sedia.

"Ia melibatkan semua sekali (PDRM), daripada Bukit Aman, kontinjen, daerah sehinggalah balai-balai polis yang akan memantau perkembangan berkaitan PRU.

"Ini penting kerana apabila tiba masanya nanti , semua maklumat akan disalurkan dengan lebih tepat supaya jika ada sebarang tindakan, ia boleh dilakukan dengan mudah dan lancar," tambah beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment