My Add

Tuesday 5 February 2013

Percepatkan kelulusan naik taraf Kolej RISDA jadi universiti - Rahim

Oleh AMRAN MUUP

MELAKA, SELASA, 05 Februari, 2013: Kerajaan diminta segera meluluskan permohonan RISDA untuk menaik taraf Kolej RISDA kepada kolej universiti supaya ia boleh memfokuskan kepada usaha melahirkan modal insan peneraju sektor pertanian dan perladangan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, ini kerana permohonan telah dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi setahun lalu dan pihak Kolej RISDA telahpun menyediakan segala keperluan ke arah itu.

Menurutnya, ini termasuk pembinaan bangunan dan menaik taraf infrastruktur bangunan baharu bernilai RM28 juta Kolej RISDA di Ayer Pa'abas di Alor Gajah, dekat sini.

Selain itu, katanya, pihak kolej tersebut juga telah menambah jumlah pensyarah yang memiliki doktor falsafah (PHD) dan sarjana.

“Saya harap permohonan menaik taraf Kolej RISDA menjadi kolej universiti yang dipohon sejak setahun lalu dapat diluluskan segera Kementerian Pengajian Tinggi," katanya dalam sidang akhbar di Auditorium Melaka FAM di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment