My Add

Sunday 24 February 2013

Pihak swasta digalak buka farmasi komuniti di luar bandar: Tiong Lai

PETALING JAY, AHAD, 24 Februari, 2013A: Kementerian Kesihatan sedang menimbang untuk menawarkan insentif yang bersesuaian bagi menggalakkan lebih banyak pihak swasta membuka farmasi komuniti di kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, insentif berkenaan perlu sebagai sebahagian usaha untuk menangani masalah kekurangan farmasi komuniti terutama di kawasan-kawasan terpencil.

"Kementerian memandang serius situasi taburan farmasi komuniti yang tidak sekata di negara ini yang mana majoriti farmasi tumbuh bagai cendawan di kawasan bandar," katanya dalam ucapan perasmian pembukaan kedai Farmasi Cosway ke-100 di Damansara dekat sini, hari ini.

Teks ucapan Liow dibacakan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah A Rahman.

Menurut Liow, statistik kementerian ketika ini menunjukkan terdapat 1,834 permis farmasi komuniti di seluruh negara.

Liow berkata, menyedari hakikat berlakunya ketidakseimbangan dalam taburan farmasi komuniti antara kawasan bandar dan luar bandar dan kementerian dengan kerjasama Persatuan Farmasi Malaysia telah membangunkan 'Malaysian Healthcare Providers Mapping Service'.

Beliau berkata, perkhidmatan itu memaparkan lokasi 10 jenis penyampai perkhidmatan kesihatan di Malaysia termasuk lokasi premis farmasi komuniti kesihatan di seluruh negara. 

Katanya, perkhidmatan itu juga diguna oleh kementerian untuk melaksanakan pengezonan bagi menambah baik taburan farmasi komuniti di Malaysia supaya dapat menyediakan pengagihan dan akses bekalan ubat yang sama rata kepada rakyat.

"Melalui perkhidmatan ini juga, orang ramai dapat mengetahui lokasi farmasi komuniti yang berhampiran dengan hospital atau klinik yang boleh dilawati," katanya.

Selain itu, Liow berkata, sebagai golongan profesional yang hampir dengan masyarakat, ahli farmasi komuniti memainkan peranan penting di dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan yang mampu menepati kehendak rakyat.

Menurut Liow, standard dan amalan yang terdapat di farmasi komuniti turut mencerminkan imej kerjaya dalam bidang farmasi secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, kementerian menyediakan 'Pharmacy Benchmarking Guideline 2011' sebagai panduan asas untuk memulakan kerjaya sebagai ahli farmasi di farmasi komuniti.

Di samping itu, Liow berkata, sehingga 31 Januari lalu, jumlah ahli farmasi yang berdaftar di seluruh negara telah mencecah 10,250 orang berbanding hanya kira-kira 30 orang saja pada sekitar tahun 1950-an.

Liow berkata, nisbah bagi seorang ahli farmasi kini adalah seorang bagi setiap 2,947 penduduk dan dijangka menjelang 2016, nisbah itu akan berkurang kepada seorang ahli farmasi untuk 2,000 penduduk seperti yang disaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment