My Add

Sunday, 24 February 2013

Putera Sultan Terengganu ke-2 Kejohanan Kuda Lasak Melaka
 
MELAKA, AHAD, 24 Februari, 2013 : Putera sulung Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin menduduki tempat kedua acara 80 kilometer Kejohanan Kuda Lasak Jemputan Antarabangsa Melaka (MGIER) 2013 yang berakhir di Stadium Hang Jebat, Krubong, dekat sini hari ini. 

Tengku Muhammad Ismail, 14, yang mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) mencatat masa empat jam 22 minit 6 saat.

Baginda yang menggunakan nombor 99 dan menunggang kuda bernama 'RTES Annaversary' bersaing bersama 31 peserta dari dalam dan luar negara.

Hanya 21 peserta menamatkan perlumbaan itu yang dimenangi Mohd Norsyafriman Zazlan, dari Royal Kelantan Endurance Team, yang menunggang kuda 'West Coast Sofi' dengan catatan masa empat jam 21 minit 39 saat.

Tempat ketiga diraih Mohd Nizan Muda dari TSAB yang menunggang kuda 'Reid River Night Vishine' dengan catatan masa lima jam 5 minit 36 saat.

Juara acara 80 km memenangi wang tunai RM6,000 manakala kedua RM5,000 dan ketiga RM3,500.

Seramai 104 peserta dari lapan negara iaitu dari Malaysia, Australia, Singapura, Thailand, Indonesia, Perancis, India dan Korea Selatan menyertai tiga kategori yang dipertandingkan pada kejohanan itu iaitu 40 km, 80 km dan 120 km.

Bagi kategori 120 km, peserta dari Perancis Ingrid Toniazzo yang menunggang kuda 'Fazoul Alyf' juga dari RTES mengungguli saingan dengan catatan masa tujuh jam 44 minit 35 saat.

Rakan sepasukan Mohd Hisyamuddin Daud menduduki tempat kedua dengan catatan masa tujuh jam 44 minit 51 saat manakala tempat ketiga ialah peserta dari Thailand Prutirat R. Serireongrith dengan catatan masa sembilan jam 44 minit 26 saat.

Pemenang kategori itu menerima wang tunai RM12,000 dan tempat kedua RM10,000 mnakala ketiga RM8,000. Bagi kategori 40 km, lima peserta awal diberi hadiah peralatan sukan dan sijil.

Hadiah-hadiah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri Datuk Gan Tian Loo dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment