My Add

Tuesday 12 February 2013

Ramai teruja jumpa PM

PULAU PINANG, ISNIN, 11 Februari, 2013: Pengunjung majlis jamuan Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baharu Cina teruja bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bersama-sama memeriahkan sambutan perayaan tersebut di padang Kolej Han Chiang di sini hari ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang itu dihadiri lebih 80,000 pengunjung dan kebanyakan yang ditemui berkata, mereka keluar awal pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan terlepas peluang meraikan sambutan tahun ular bersama dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Tang Poh Chong, 48, seorang pekerja swasta yang ditemui berkata, dia dan keluarganya mengambil peluang untuk melihat dengan lebih dekat dengan Perdana Menteri yang selama ini hanya ditonton di televisyen sahaja.

“Saya harap dapat bersalaman dengan Perdana Menteri, semalam pun anak saya, Tang Chuen Zhe, 10, tidak boleh tidur kerana tidak sabar untuk berjumpa dengan Perdana Menteri hari ini," katanya.

Beliau yang tinggal di Kulim, Kedah berkata, semangat 1Malaysia dan perpaduan juga dapat dirasai pada majlis sambutan kali ini dan gembira kerana berpeluang beramah mesra dengan kaum lain.

Seorang pelajar kolej swasta, T. Oormiladhevi, 20, juga melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bertemu Perdana Menteri pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

“Saya datang dengan ibu saudara, K.Hemamalani, dan ahli keluarga lain, sangat gembira kerana dapat berjumpa dengan Perdana Menteri, rasa seronok sangat," katanya.

Seorang suri rumah, Che Zaharah Din, 56, gembira kerana dapat merasakan semangat 1Malaysia dan perpaduan antara kaum pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina.

“Mak cik datang dari Sungai Petani, rasa seronok sangat sebab nak jumpa Perdana Menteri. Suasana hari ini pun meriah dapat rasa semangat perpaduan antara kaum," katanya yang hadir ditemani suami dan tiga orang anak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment