My Add

Tuesday 12 February 2013

Najib kagum kreativiti Sulthan Syed

PULAU PINANG, ISNIN, 11 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak teruja dengan kreativiti seorang pemimpin masyarakat India Muslim Pulau Pinang menyampaikan sebuah lagu ala Hindustan yang menyeru masyarakat mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti.

Presiden Persatuan Nurul Islam Pulau Pinang, Sulthan Syed Salhamid berkata, Perdana Menteri melahirkan rasa teruja itu kepada beliau yang menyampaikan lagu "Kuch Kuch Hota Hai" dengan seni kata yang diciptanya sendiri selepas Najib berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Liga Muslim di Masjid Kapitan Keling di sini, malam tadi.

Perdana Menteri yang khusyuk dan tersenyum mendengar lirik lagu itu yang meminta rakyat menyokong kepimpinannya turut memberi tepukan kepada Sulthan Syed.

Senikata lagu itu berbunyi:

Undilah semua Barisan Nasional Bersatu di bawah Najib Tun Razak Undi lain-lain, tiada kemajuan Datang hari undi hai, bagi Barisan Nasional menang hai Kami setiap hari berdoa Barisan Nasional mendapat dua pertiga. Undilah Barisan kembali semula untuk keamanan, untuk kemajuan, untuk kesejahteraan. Datang hari undi hai, bagi Barisan Nasional menang hai.

Sulthan Syed yang juga seorang komposer ditemui Bernama selepas majlis itu berkata lagu tersebut adalah simbolik sokongannya kepada kepimpinan Najib.

Beliau berharap lagu tersebut dapat memberi semangat kepada masyarakat terutama kaum India Muslim untuk terus mengundi BN.

"Saya setiap hari berdoa memohon supaya BN terus memerintah negara. Saya mahu negara ini diperintah BN. Saya suka BN mentadbir negara kita, dan saya akan terus berpegang kepada prinsip saya iaitu untuk terus menyokong BN," katanya.

Sulthan Syed berkata, beliau bercadang membuat salinan lagu itu dalam bentuk cakera padat untuk diserahkan kepada pemimpin nombor satu negara itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment