My Add

Saturday 16 February 2013

RM52 bilion harta pusaka tertunggak gagal diwariskan

BADRUL HAFIZAN MAT ISA

KUALA LUMPUR, SABTU, SABTU, 16 Februari, 2013: Sebanyak RM52 bilion nilai harta pusaka tertunggak dengan majoritinya milik orang Islam gagal diwariskan kepada individu yang berhak di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Seminar Hibah Peringkat Kebangsaan 2013, Ariffin Sabirin berkata, hasil anggaran industri perancangan harta pusaka di negara ini, jumlah tersebut meningkat daripada RM40 bilion pada 2007 dan semakin bertambah ekoran peningkatan nilai hartanah serta kes tuntutan harta pusaka yang semakin banyak.

Jelasnya, jumlah tinggi itu juga ekoran sebahagian besar umat Islam ketika ini tidak memahami isu perwarisan harta dengan baik hingga membawa kepada perbalahan antara waris.

Katanya, umat Islam di negara sering terkeliru kerana menyangkakan wasiat adalah instrumen terbaik membahagikan harta.

Sedangkan tambah beliau, wasiat mempunyai kekangan tertentu bagi umat Islam dan tidak efektif bagi melaksanakan hasrat pembahagian harta kecuali kepada bukan waris pada takat maksimum satu pertiga.

“Namun menerusi hibah iaitu salah satu daripada instrumen perancangan harta di dalam Islam, masalah perbalahan antara waris ini dapat diatasi kerana tuan punya harta dapat menentukan dengan tepat siapakah yang akan mewarisi hartanya serta formula agihannya.

“Sehubungan itu, orang Islam yang jatuh di bawah struktur faraid kritikal seperti pasangan Islam yang tidak mempunyai anak atau yang mempunyai anak perempuan sahaja ataupun pasangan yang mempunyai anak angkat, mereka perlu memahami dan menggunakan instrumen hibah ini bagi mengelakkan masalah harta pusaka dalam kalangan waris," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Hibah Peringkat Kebangsaan 2013 di Dewan Auditorium Institut Sosial Malaysia, di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment