My Add

Wednesday 6 February 2013

Syarikat China labur RM5 bilion

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
 
 *NAJIBTun Razak dan Jia Qinglin (tiga kiri) bergambar semasa majlis pelancaran Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China di Gebeng, Kuantan, semalam. Turut kelihatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (dua kanan) dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (lima dari kiri).

KUANTAN, SELASA, 05 Februari, 2013: Lokasi yang strategik merupakan faktor utama sebuah syarikat dari China, Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co. Ltd memilih untuk melabur melalui projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di sini.

Pengerusinya, Ye Shixiang berkata, syarikatnya yang merupakan pelabur terbesar di MCKIP melihat peluang ini kerana yakin taman perindustrian ini mampu berkembang maju pada masa akan datang.

"Saya lihat dengan kewujudan MCKIP ini, syarikat saya nanti mampu memperluaskan pasaran ke seluruh Asia Tenggara," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian MCKIP di sini hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Republik Rakyat China (CPPCC), Jia Qinglin selaku wakil kerajaan China.

Syarikat Guangxi Beibu Gulf International Port Group ini akan melabur sebanyak RM5 bilion untuk membangunkan tiga projek di MCKIP merangkumi pembinaan kilang keluli, kilang memproses aluminium dan loji penapisan minyak sawit.

Selain itu, syarikat ini juga akan berkerjasama dengan IJM Corporation Bhd. bagi projek perluasan Pelabuhan Kuantan yang melibatkan pelaburan berjumlah RM3 bilion.

Menurut beliau, ini merupakan kali pertama syarikatnya melabur di negara ini kerana kawasan ini mempunyai kemudahan yang cukup untuk syarikatnya meluaskan pasaran ke negara ini.

Kata beliau, di China pihaknya mengendalikan empat buah pelabuhan dan pengalaman ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu mengendalikan muatan perkapalan di Pelabuhan Kuantan.

"Saya yakin Pelabuhan Kuantan mampu menjadi satu pelabuhan yang bertaraf dunia pada masa akan datang kerana pelabuhan memainkan peranan penting dalam membangunkan sesebuah kawasan perindustrian," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment