My Add

Wednesday 6 February 2013

Najib, Jia Qinglin saksi tandatangan MoA Universiti Xiamen

 *NAJIB Tun Razak dan Jia Qinglin menyaksikan majlis pertukaran memorandum perjanjian bagi pembinaan kampus cawangan Universiti Xiamen di tanah seluas 60.72 hektar di Salak Tinggi antara Universiti Xiamen, China yang diwakili oleh Presidennya, Prof. Zhu Chongshi (depan, kanan) dengan Sunsuria Development Sdn. Bhd., yang diwakili oleh Ter Leong Yap dalam majlis menandatangani perjanjian itu di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi. Turut sama Mohamed Khaled Nordin (kiri). - BERNAMA

PUTRAJAYA, SELASA, 05 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Jia Qinglin, Pengerusi Jawatankuasa Nasional Persidangan Perundingan Politik Rakyat China, malam ini menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) di sini mengenai pembangunan kampus cawangan seberang laut pertama universiti utama di China, Universiti Xiamen.

Universiti Xiamen diwakili oleh Presidennya, Zhu Chongshi sementara pihak Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Sun Suria Development Sdn. Bhd., Datuk Ter Leong Yap di upacara itu di Sri Perdana.

Sebaik tiba di Sri Perdana sekitar 8.25 malam, Jia Qinglin mengadakan perbincangan dengan Najib selama kira-kira 40 minit, sebelum mereka menyaksikan upacara menandatangani MoA. Pada 21 Januari lalu, Najib mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan pada prinsipnya penubuhan kampus cawangan seberang laut pertama universiti berkenaan di kawasan seluas 60.72 hektar di Salak Tinggi, dekat sini.

Kampus itu dijangka beroperasi pada September 2015. Penubuhannya begitu bersejarah kerana ini kali pertama kerajaan China membenarkan sebuah universitinya menubuhkan kampus cawangan di seberang laut.

Kos pembinaan kampus itu dianggarkan kira-kira RM600 juta, RM400 juta daripadanya akan dibelanjakan pada fasa pertama penubuhannya. Turut hadir di upacara itu ialah Wakil Khas Perdana Menteri ke China dan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China Tan Sri Ong Ka Ting dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Najib dan Jia kemudian menghadiri jamuan malam yang turut disertai isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment