My Add

Wednesday 6 February 2013

Tidak terhad bidang keselamatan

Oleh KAMIL MASLIH

*AHMAD Zahid Hamidi menerima buku 1ACP daripada Azizan Ariffin selepas pelancaran majlis 1ACP dan Portal Kerjaya Veteran di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Februari, 2013: Tidak terhad dalam bidang keselamatan. Itulah sasaran Kementerian Pertahanan menerusi program 1ACP yang akan menyediakan peluang kerjaya kedua kepada bekas-bekas tentera.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program yang digerakkan menerusi firma konsultan, Kerjaya Sukses Sdn. Bhd. itu akan memprofailkan kerjaya yang sesuai untuk pegawai dan anggota dalam tempoh tiga tahun sebelum bersara.

"Kita cuba mengelakkan bidang keselamatan kerana akhirnya anggota lain-lain pangkat (LLP) hanya menjadi pengawal keselamatan. Masih terdapat banyak lagi kerjaya yang lebih produktif boleh dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program 1ACP serta laman portal kerjayaveteran.my dan kerjayasukses.com.my di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Pengerusi Kerjaya Sukses, Tan Sri Azizan Ariffin serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya menggalakkan veteran tentera untuk menceburi kerjaya kedua yang mempunyai kaitan dengan kemahiran dan pengalaman mereka semasa berkhidmat dalam pasukan itu.

"Kecuali bidang yang terlalu khusus seperti pengendali meriam misalnya, kita akan membantu mereka mencari bidang yang diminati tetapi apa yang penting, sebanyak 67 peratus bidang yang diminati itu telah dipenuhi melalui usaha Kerjaya Sukses," katanya.

Jelasnya, program 1ACP telah dimulakan sejak Jun tahun lalu dan pelaksanaannya turut membabitkan kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) serta Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

Beliau memberitahu, program peralihan kerjaya itu akan memberi manfaat kepada 30,000 orang veteran tentera berpencen dan tidak berpencen menjelang tahun 2020 di samping membantu golongan tersebut menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar bidang ketenteraan.

Mengulas mengenai Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M), Ahmad Zahid berharap golongan veteran terlibat bersyukur dengan sumbangan RM1,000 itu dan menzahirkannya dengan memberi mandat sekali lagi kepada kerajaan sedia ada.

"Ada permintaan yang dikemukakan supaya sumbangan itu diteruskan tetapi agar sukar kerana peruntukan RM234 juta setahun ini jumlahnya agak besar, tetapi kita amat menghargai kalau kerajaan pertimbangkan permintaan pesara tentera tidak berpencen ini," katanya.

Jelas Ahmad Zahid, SVTB1M memberi manfaat kepada 234,500 veteran tentera tidak berpencen di seluruh negara dan agihan dibuat secara berperingkat. - UTUDAN

No comments:

Post a Comment