My Add

Sunday, 24 February 2013

Usaha bantu rakyat Palestin tidak terhad ke Gaza - Nasharudin

PUTRAJAYA, SABTU, 23 Februari, 2013: Usaha kerajaan dan rakyat Malaysia membantu Palestin tidak terhad kepada Gaza semata-mata, sebaliknya Tebing Barat turut menjadi tumpuan.

Bagaimanapun, Pengarah Yayasan Al- Quds Malaysia, Nasharudin Mat Isa berkata, proses meringankan beban penduduk di situ agak perlahan disebabkan pelbagai kekangan.

Katanya, bantuan lebih banyak disalurkan ke Gaza kerana akses yang mudah berbanding Tebing Barat.

''Biar pun ada kekangan di Tebing Barat misalnya disebabkan rejim Yahudi membina tembok pemisah di situ namun usaha membantu penduduk di situ sentiasa diteruskan,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Nasharudin antara pemimpin yang menyertai lawatan Najib ke Gaza bulan lalu.

Menurut beliau, lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza membuka ruang baru dalam bentuk sumbangan Malaysia kepada isu di Palestin.

''Dengan datangnya ketua negara membuka lembaran baru dalam bentuk penyertaan terus kerajaan dengan kerajaan di Gaza.

''Antara peruntukan yang diluluskan termasuk membina semula pejabat Perdana Menteri, sekolah dan hospital,'' katanya.

Beliau berkata, usaha itu merupakan komitmen yang cukup tinggi dari kerajaan Malaysia dan rakyatnya.

Nasharudin juga menolak andaian bahawa kunjungan Najib bertujuan meraih undi orang Islam di Malaysia.

Katanya, pelbagai andaian boleh dibuat namun adalah menjadi tanggungjawab orang Islam dan negara Islam membantu penduduk di Palestin mengikut kemampuan masing-masing.

''Apa yang telah berlaku menunjukkan sifat serta kesungguhan Malaysia menghulurkan sumbangan dan pintu Gaza sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh mereka yang ingin menghulurkan bantuan.

''Insya Allah usaha sedemikian diberkati Allah dan mendapat sesuatu yang positif dalam konteks kita sebuah negara di mana umat Islamnya memainkan peranan dalam isu sedemikian,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment