My Add

Sunday, 24 February 2013

Gaza mahu tingkat kerjasama

PUTRAJAYA, SABTU, 23 Februari, 2013: Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza bulan lalu memberi kesan yang amat besar kepada penduduk Palestin, dan selepas sebulan, barisan kepimpinan di situ mahu lebih banyak kerjasama terjalin antara kedua-dua pihak.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Luar Hamas, Dr. Ghazi Hamad yang menyifatkan lawatan Perdana Menteri sebagai simbol komitmen Malaysia yang sangat kukuh dalam usaha membantu Palestin membangunkan semula negara itu.

Sambil melahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia kerana membantu negaranya, Dr. Ghazi berkata, lawatan Najib juga secara tidak langsung merencatkan kerja keras Israel mahu 'memulaukan' Palestin dari dunia luar.

''Najib dengan jelas menunjukkan sokongan kepada Palestin yang selama ini ditekan oleh Israel, di mana rakyat kami dibunuh secara kejam, tanah-tanah dirampas, rumah serta bangunan dimusnahkan tanpa ada rasa kemanusiaan.

''Malah kesediaan Najib menjadi orang tengah untuk menyatukan Hamas dan Fatah demi negara Palestin membuktikan sokongan masyarakat antarabangsa terutama dari Malaysia yang mahu melihat rakyat negara kami bebas dari kekejaman Israel,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia dalam satu pertemuan di sini hari ini.

Dr. Ghazi turut menepis dakwaan pihak tertentu kononnya lawatan Najib ke Gaza dan tidak bertemu Presiden Fatah, Mahmoud Abbas di Tebing Barat melebarkan lagi jurang antara Hamas dan Fatah sekali gus meningkatkan perpecahan di kalangan rakyat Palestin.

Katanya, beliau tidak akan mengizinkan lawatan mana-mana pemimpin luar ke Gaza jika niat kunjungan itu adalah untuk menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat Palestin baik di Gaza mahu pun Tebing Barat.

Dr. Ghazi berkata, tindakan pihak tertentu memperlekehkan kunjungan Najib juga tidak rasional malah beliau sendiri telah bercakap dengan Mahmoud bahawa tidak ada ruang untuk mengkritik atau menyalahkan kunjungan Perdana Menteri Malaysia.

''Saya maklumkan bahawa kunjungan Najib bukan bermaksud untuk melebarkan lagi perpecahan antara Hamas dan Fatah sebaliknya usaha itu adalah ke arah penyatuan demi masa depan Palestin dan rakyatnya,'' katanya.

Menurut beliau, Hamas dan Fatah memang sedang menjalani proses penyatuan untuk menolak Israel daripada terus menindas rakyat Palestin, justeru Dr. Ghazi mengalu-alukan setiap usaha yang boleh mempercepatkan proses itu.

Katanya, amat jelas Israel menggunakan perpecahan antara Hamas dan Fatah sebagai senjata untuk mereka terus menindas rakyat Palestin, oleh itu sudah tiba masanya untuk proses penyatuan kedua-dua pihak dipercepatkan.

Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai hubungan baik dengan negara-negara lain terutamanya negara Islam memang boleh memainkan peranan yang besar dalam membangunkan semula Gaza. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment