My Add

Friday, 12 April 2013

12 pegawai PDRM dinaikkan pangkat isi jawatan di Esscom

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 April, 2013: Selaras dengan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bulan lalu, Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia (SPP) telah meluluskan pertukaran beberapa pegawai kanannya berkuat kuasa esok bagi mengisi beberapa jawatan baru yang diwujudkan.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yusoof berkata, serentak dengan pertukaran itu, beberapa pegawai yang terlibat turut akan dinaikkan pangkat.

Beliau berkata, pertukaran dan kenaikan pangkat itu melibatkan Datuk Rashid Harun yang ketika ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Bukit Aman dilantik menjadi Komander Pasukan Keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Esscom dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

Turut terlibat ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perlindungan Keselamatan Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Nadzer Nordin dinaikkan pangkat kepada DCP bagi mengisi jawatan Ketua Perisikan Bersama, Esscom.

"Timbalan Komander Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Sabah, Asisten Komisioner (ACP) Kamarul Bahrin Mohamad pula dilantik sebagai Ketua Staf Briged PGA, Esscom dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

"Timbalan Ketua Cawangan Khas Sabah, Asisten Komisioner Zulkifli Abdul Aziz turut dinaikkan pangkat SAC dan memegang jawatan sebagai Ketua Staff Perisikan, Esscom," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pegawai lain turut terlibat ialah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd. Isa dinaikkan pangkat SAC dengan jawatan Ketua Staff Siasatan, Esscom.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Nasir Ramli akan ditugaskan sebagai Ketua Staf Pasukan Gerakan Khas (PGK), Esscom, manakala Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah, ACP Abdul Manaf Othman dilantik sebagai Ketua Staff Pasukan Gerakan Udara dan Marin, Esscom dengan masing-masing dinaikkan pangkat SAC.

Lima lagi pegawai dinaikkan pangkat kepada ACP ialah Supritendan Unit Pusat Risikan Interim, JSJ Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Supritendan Ahmad Taufek Abdullah yang menggalas tugas sebagai Timbalan Ketua Staff Siasatan I, Esscom; Supritendan Siasatan Pengubahan Wang Haram (1), Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Supritendan Willey Richard menjawat Timbalan Ketua Staff Siasatan II.

Jurutera I, Khidmat Kejuruteraan, Pasukan Gerakan Udara Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Supritendan Sulaiman Hussain dilantik sebagai Timbalan Ketua Staff Pasukan Gerakan Udara, Esscom; Timbalan Komander PPM Sabah, Supritendan Wan Shazali Wan Abd. Rahman menjawat jawatan Timbalan Ketua Staff PPM, Esscom dan Penolong Komander Unit Tindakan Khas KDNKA Bukit Aman, Supritendan Hazani Ghazali memegang jawatan baru sebagai Timbalan Ketua Staf PGK, Esscom. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment