My Add

Friday, 12 April 2013

30,000 meriahkan majlis perasmian UTC Pahang

 *NAJIB Tun Razak menunjukkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang
 di Kuantan yang dirasmikannya semalam. Turut sama, Adnan Yaakob dan
 Ismail Sabri Yaakob.

KUANTAN, KHAMIS, 11 April, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pahang yang asalnya bangunan Terminal Makmur di sini.

Perdana Menteri dalam majlis perasmian itu turut mengumumkan bangunan Terminal Makmur itu ditukar nama kepada UTC Pahang.

Kira-kira 30,000 orang hadir menyaksikan perasmian bangunan itu yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM37 juta.

UTC Pahang menempatkan sebanyak 76 jabatan kerajaan dan institusi perbankan serta 55 premis perniagaan yang beroperasi mulai pukul 8.30 pagi hingga pukul 10 malam dan dibuka setiap hari termasuk cuti hujung minggu.

Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya berkata, falsafah di sebalik kewujudan UTC bertujuan memenuhi tiga kriteria utama.

Pertama katanya, mesti pantas pelaksanaannya dan kedua mesti satu projek yang dilakukan dengan perbelanjaan minimum.

"Ketiga, perlu memberi kesan dan impak besar kepada rakyat, saya ingin nyatakan UTC ini pasti akan beri kesenangan kepada rakyat dan yang paling besar pusat ini dibuka tiap-tiap hari, tujuh hari seminggu," katanya.

Najib berkata, tiada negara lain di dunia ini yang menyediakan perkhidmatan sedemikian kepada rakyat kecuali Malaysia.

"Pelbagai perkhidmatan disediakan di UTC, dari segi perkhidmatan kerajaan, swasta, ada pusat gimnasium dan ada pusat memanah termasuk minuman istimewa Kopi 1Malaysia buatan FAMA," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd. Amin Ishak, 60, berkata, kewujudan UTC banyak memberi manfaat seperti menjimatkan masa dan perbelanjaan.

"Pusat ini dapat membantu rakyat membuat semua urusan di satu tempat dan tidak perlu ke tempat lain kerana semua urusan boleh diselesaikan di sini," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Norazah Abdul Manaf, 50, pula berkata, usaha mewujudkan UTC menunjukkan kerajaan begitu prihatin membantu rakyat memudahkan setiap urusan harian yang menjimatkan masa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment