![]() |
| *ZABIDAH (kiri) mengagihkan bungkusan bantuan semasa melawat penduduk Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu semalam. |
LAHAD DATU, RABU, 10 April, 2013: Seramai 100 penduduk di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian bakal menerima sumbangan daripada Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) Amanah Ikhtiar Malaysia bagi meringankan beban mereka yang tiba-tiba jatuh miskin ekoran pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lalu.
Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Zabidah Ismail berkata, bantuan tersebut merupakan tanggungjawab sosial TKKS terhadap penduduk di kedua-dua buah kampung itu yang juga terdiri daripada peminjam AIM.
"Pihak kita sedang mengenal pasti jumlah kerugian dan sumbangan yang bakal dimanfaatkan kepada penduduk," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu Zabidah mengadakan perjumpaan dan melawat semua rumah ahli AIM di perkampungan Tanjung Batu dan Tanjung Labian yang terjejas.
Beliau memberitahu, hasil maklumat awal dikatakan seramai 1,400 peminjam AIM yang tinggal di daerah itu terjejas akibat pencerobohan pengganas Sulu.
"Kita akan menggunakan kaedah tertentu untuk mengagihkan bantuan tersebut. Bagaimanapun, penduduk Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian didapati paling teruk terjejas berbanding kampung lain dalam daerah itu," katanya.
Zabidah memberitahu, TKKS yang diwujudkan sejak 2006 adalah hasil sumbangan wang RM1 pada setiap bulan daripada 350,000 ahli AIM di seluruh negara. - KOSMO!

No comments:
Post a Comment