My Add

Wednesday, 10 April 2013

Forensik, anjing pengesan cari baki mayat pengganas

LAHAD DATU 09 April, 2013; Polis menghantar semula anggota forensik bersama Unit Anjing Pengesan (K9) ke Kampung Tanduo di sini, bagi mencari tiga lagi mayat pengganas Kiram yang belum dibawa keluar dari kawasan operasi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang berkata, keputusan itu diambil kerana pihaknya tidak menolak kemungkinan masih ada saki-baki mayat pengganas yang belum ditemui di kampung berkenaan.

Beliau berkata, operasi membawa keluar mayat pengganas sedikit terganggu semalam akibat hujan lebat.

"Kami hanya dapat mengeluarkan 12 daripada 15 mayat yang ditemui. Justeru, pasukan forensik dan K9 akan dikerah sekali lagi pergi ke kampung itu untuk mencari tiga mayat yang tertinggal.

"Lagipun, manalah tahu jika ada mayat-mayat lain boleh ditemui di kampung yang menjadi medan pertempuran itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa mengadakan lawatan di sekitar Kampung Tanduo hari ini.

Yang turut mengiringi beliau ialah Pegawai Turus Gerakan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Deputi Supritendan Toipi Lamat.

Dalam lawatan itu, Kok Liang mengambil kesempatan meninjau sekitar rumah milik anak kepada seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjadi tali barut pengganas iaitu Mat Bom dan pantai berhampiran yang merupakan lokasi pendaratan pengganas Kiram.

Mengenai tahap keselamatan di kampung itu, beliau berkata, anggota keselamatan telah menjalankan tugas dengan baik setelah tiada lagi insiden pencerobohan baru berlaku di situ sepanjang tempoh tiga minggu lalu.

"Biarpun sudah boleh dianggap selamat tetapi pasukan keselamatan sentiasa membuat pemantauan dan belum ada perancangan untuk menamatkan operasi kawalan di kawasan itu setakat ini.

"Kehadiran anggota keselamatan penting kerana kedudukan kawasan ini terletak hampir dengan pulau di Filipina iaitu hanya kira-kira 40 minit perjalanan menggunakan bot laju," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment