Siasatan terperinci terhadap 32 suspek pengganas Kiram
KOTA KINABALU, SELASA, 09 April, 2013: Polis sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap 32 lelaki warga Filipina yang ditahan dalam bot kumpit di perairan negara berhampiran Tambisan, Lahad Datu dekat sini pagi semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sama ada mereka mempunyai kaitan dengan pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, pada Mac lalu.
"Setakat ini kesemua mereka yang ditangkap berusia antara 17 dan 72 tahun itu akan ditahan selama 29 hari mengikut SOSMA dan status mereka akan ditentukan setelah siasatan selesai," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.
Tambah Hamza, apa yang pasti kesemua suspek terlibat melanggar undang-undang dan kedaulatan negara apabila memasuki negara ini secara tidak sah tanpa sebarang dokumen dan turut membawa senjata api.
Kira-kira pukul 2 pagi semalam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan kumpulan itu yang turut membawa beberapa senjata api dan senjata lain seperti beberapa bilah barong dan kapak.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Hamza berkata, semalam pasukan forensik polis berjaya menemui dan membawa keluar 12 daripada 15 mayat kumpulan pengganas Kiram yang ditembak mati tempoh hari di Kampung Tanduo.
Walau bagaimanapun, katanya, tiga lagi mayat gagal dikesan dan usaha pencarian saki bakinya masih diteruskan.
"Kita telah berjaya menemui 12 mayat di dalam tiga kubur berasingan di Kampung Tanduo, sembilan mayat ditemui dalam kubur pertama, dua dalam kubur kedua dan satu di kubur terakhir," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment