My Add

Friday, 12 April 2013

Gangguan air: Setengah juta pengguna Lembah Klang terjejas hingga Isnin

 *BONGKAH penapis air yang roboh menimpa saluran paip air sehingga pecah
 di tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves, Gombak malam kelmarin.

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 April, 2013: Kira-kira setengah juta akaun pengguna Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) melibatkan 82 kawasan di Kuala Lumpur dan Gombak mengalami gangguan bekalan air sehingga Isnin ini.

Pengarah Eksekutif Operasi Syabas, Yusof Saroji berkata, ini berikutan paip besar berukuran 2,000 milimeter dari Kolam Air Dusun Kubung ke Wangsa Maju telah pecah di lokasi berhampiran tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves, akibat hujan lebat malam tadi.

Menurutnya, antara kawasan terjejas adalah Flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Keramat, Jalan Padang Tembak, Jalan Semarak, Jalan Gurney dan Taman Pandan Jaya.

Turut terlibat Taman Cempaka, Taman Nirvana, Kampung Pandan Dalam, Taman Dagang, Taman Shamelin dan Kampung Melayu Ampang.

Beliau menjelaskan, salur paip itu pecah apabila tembok penahan paip tersebut tidak mampu bertahan akibat asakan dan tekanan kuat dari arus air sungai yang naik dan mengalir deras ekoran hujan lebat selama lima jam semalam.

"Kami menerima aduan orang ramai mengenai kejadian tersebut pada pukul 10 malam yang turut menyebabkan tebing sungai runtuh dan berlaku hakisan tanah," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke lokasi kejadian bersama media di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Koporat Syabas, Abdul Halem Mat Som dan Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred dan

Yusof berkata, kerja-kerja pembaikan paip air yang mampu membekalkan 260 juta liter air sehari itu itu dijangka siap dalam tempoh dua hari bermula hari ini dan dijangka pulih secara peringkat.

"Kita berharap pembaikan yang menelan belanja sehingga RM50,000 dapat disiapkan segera namun faktor cuaca termasuk hujan lebat sejak akhir-akhir ini boleh menyebabkan berlaku kelewatan," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau menerusi laman web Syabas atau Twitter dan Facebook. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment