My Add

Thursday, 11 April 2013

Insentif kepada syarikat mendaftar dengan SSM

SUBANG JAYA, RABU, 10 April, 2013: Pemberian insentif akan diberikan kepada usahawan yang masih lagi belum mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ini kerana, kira-kira 31 peratus usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini masih lagi belum mendaftar.

Ketua Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim berkata, langkah mendaftar itu juga bertujuan untuk membantu syarikat berkenaan daripada pelbagai aspek termasuk pengembangan dan mengenal pasti potensi mereka.

"Kita dapati masih banyak lagi syarikat yang tidak mendaftar, setakat ini kita mempunyai 645,000 syarikat yang berdaftar," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan seminar Jaringan Sinergi Usahawan Wanita 2013 di sini hari ini.

Seminar tersebut dianjurkan bagi menyokong transformasi ekonomi kerajaan (ETP) dalam memacu ekonomi Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Seminar bertemakan Transformasi Ke Arah Penjanaan Ekonomi dikhususkan di kalangan usahawan wanita bagi memperluaskan jaringan perniagaan selain perkongsian maklumat daripada tokoh perniagaan yang berjaya.

Katanya, SME Corp. turut menyasarkan 30 peratus usahawan wanita PKS menjelang 2020 berbanding 19.1 peratus pada masa kini.

"Sektor perkhidmatan seperti bidang peruncitan, salon dan spa banyak diceburi oleh kaum wanita dan turut mendapat perhatian ialah industri pembuatan.

"Kita menggalakkan usahawan wanita untuk terus berdaya saing dan mengenalpasti potensi dan mengasah bakat mereka agar dapat meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment