My Add

Friday, 12 April 2013

Kikis sikap menanti kerja

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 April, 2013: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini perlu mengikis sikap menunggu pekerjaan sebaliknya harus mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran.

Ketua Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Halimah Badioze Zaman berkata, antara kemahiran tersebut termasuk dalam bidang keusahawanan, komunikasi serta ICT.

“Sekarang bukan lagi masanya pelajar menunggu peluang pekerjaan, tetapi pasaran kerja sekarang memerlukan mereka yang kreatif, mempunyai kemahiran survival serta asas keusahawanan.

“Jika kita lihat graduan di luar negara seperti Taiwan, mereka sentiasa menanamkan mentaliti ingin meningkatkan kemahiran sebelum melangkah ke alam pekerjaan dan semangat inilah yang perlu dicontohi generasi muda Malaysia hari ini," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Antarabangsa Kali Pertama Mengenai Pengurusan Teknologi Dalam Perniagaan dan Sistem Maklumat (ASCENT) 2013 anjuran Kolej FTMS dan Universiti Anglia Ruskin, United Kingdom.

Persidangan tersebut bertindak sebagai medium kepada para penyelidik, pengamal dan profesional dalam perniagaan, ahli akademik serta agensi kerajaan untuk berbincang mengenai penyelidikan dan teknologi pada masa kini dan akan datang.

Beliau yang juga Ketua Unit Visual Infomatik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, dalam masa sama, pelajar perlu mempunyai komunikasi baik dengan pensyarah menerusi amalan budaya ‘mentor-mentee’.

Halimah turut menasihatkan pelajar supaya memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang teknologi maklumat.

“Kajian dilakukan Unit ICT Sumber Manusia Kebangsaan mendapati trend penurunan graduan dalam bidang ini bagi 2011 hingga 2013,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan tersebut sejajar dengan konsep 1Malaysia yang dihasratkan kerajaan.

“Usaha Kolej FTMS ini wajar dicontohi oleh institusi pengajian tinggi lain kerana secara tidak langsung dapat membawa masuk pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment