Nasib pengundi DAP terbela bawah Pas?
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 April, 2013: Pengundi Cina pasti tertanya-tanya adakah nasib mereka akan terbela selepas ini berikutan hasrat DAP untuk bertanding menggunakan lambang parti Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan yang membangkitkan perkara tersebut juga mempersoalkan agenda DAP yang selama ini menentang usaha kewujudan negara Islam termasuk pelaksanaan hukum hudud.
"Bagaimana pula sekiranya Pas menang besar dalam pilihan raya kali ini setelah menggunakan calon-calon DAP yang bertanding di bawah tiket mereka? Adakah Pas akan tetap meneruskan rancangan parti itu yang ditentang hebat DAP? Adakah DAP akan tunduk kepada kehendak Pas?
"Bukankah selama ini pemimpin-pemimpin 'hebat' DAP seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh sentiasa vokal dalam menolak penubuhan negara Islam kerana mahu terus memperjuangkan mereka yang bukan Islam," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ramanan turut mengkritik DAP yang selama ini begitu lantang melaungkan slogan pemilihan secara bersih dan demokrasi, namun sehingga saat ini gagal melaksanakan perkara tersebut walaupun dalam kalangan partinya sendiri.
"Semua ini cakap kosong, demokratik dan ketelusan hanya sekadar slogan mereka. DAP tidak pernah demokratik sampai bila-bila," jelasnya.
Ramanan juga mempersoalkan hala tuju DAP sekiranya calon parti itu tidak dapat bertanding di bawah logo parti tersebut.
Kata beliau, keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember lalu masih lagi menimbulkan keraguan ahli-ahlinya selain keraguan status jawatankuasa sama ada masih sah di sisi undang-undang atau sebaliknya.
"Saya hendak tahu, bagaimanakah kepimpinan tertinggi Pusat DAP membuat pemilihan calon bagi pilihan raya akan datang ini?
"Adakah kepimpinan pusat ini sebenarnya sah dan membuat pilihan walaupun sebelum ini ahli-ahli daripada parti ini mengatakan terdapat unsur manipulasi dalam pemilihan mereka," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment