NGO sambut baik perluasan Kad Diskaun 1Malaysia
KUALA LUMPUR, SELASA, 09 April, 2013: Perluasan Kad Diskaun 1Malaysia (KD1M) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan kebajikan golongan pesara sentiasa terbela.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, inisiatif itu merupakan perhatian berterusan kerajaan dalam mengurangkan beban perbelanjaan seharian kepada golongan tersebut.
Dalam masa sama, katanya, CUEPCAS berharap keistimewaan itu dapat diperluaskan kepada pesara kerajaan tujuh Badan-Badan Berkanun yang Diasingkan Saraannya (BBDS).
"Sebagai pesara, inilah masanya kita membalas jasa kerajaan dengan memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Najib semalam mengenai perluasan KD1M yang dikembangkan kepada sebanyak 725,000 pesara kerajaan selain kepada anggota keselamatan negara.
Kad diskaun atau 1Malaysia Privilege Card itu adalah inisiatif kerajaan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 6 (NBOS 6) yang membolehkan pemegang kad berkenaan mendapat diskaun antara lima dan 25 peratus daripada harga produk atau perkhidmatan di kedai-kedai yang menyertai program tersebut.
Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVTM), Mohd. Ali Baharom berkata, langkah memperluaskan kad diskaun tersebut membuktikan kerajaan BN tidak pernah melupakan kumpulan pesara yang sebelum ini banyak menyumbang tenaga membangunkan negara.
"Saya percaya rakyat kini semakin bijak membezakan pihak yang benar-benar berjuang untuk mereka," katanya.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (PFOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman menyarankan lebih banyak syarikat dan pengusaha kedai menjalin kerjasama dalam menjayakan program tersebut.
Katanya, langkah itu bagi memastikan inisiatif KD1M dapat dilaksanakan secara berkesan sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment